“Ikutkan Hati Saya Nak Kahwin Umur 25 Tapi…” – Sean Lee Tak Tolak Jodoh Dengan Gadis Melayu

Pelakon dan pengacara, Sean Lee mengaku mahu menamatkan zaman bujangnya di usia 25 tahun, namun perancangan itu terpaksa dibatalkan memandangkan dirinya sering ditinggalkan wanita.

Sean atau nama sebenarnya, Sean Lee Jian Ern, 29, bagaimanapun masih belum mempunyai calon yang sesuai untuk dijadikan suri hati sehingga ke hari ini.

“Terus terang saya sudah beberapa kali putus cinta dan dilukai bekas kekasih dalam hubungan percintaan sebelum ini.

“Hubungan percintaan yang terjalin sebelum ini putus dan tidak berakhir dengan perkahwinan seperti diharapkan.

“Kalau  nak diikutkan saya mahu berkahwin dan membina keluarga lebih awal pada usia 25 tahun,” katanya.

Bercakap mengenai jodoh, pengacara program realiti hiburan, Famili Duo ini memaklumkan, dia tidak kisah sekiranya bakal isterinya nanti dalam kalangan artis mahupun orang biasa.

Malah, dia juga tidak menolak sekiranya jodohnya itu dalam kalangan wanita Melayu.

“Saya pernah bercinta dan putus cinta dengan gadis Melayu di kolej dulu tapi, jika ditakdirkan untuk bercinta dengan gadis Melayu saya tidak menolak,” jelasnya.

Berkongsi mengenai pengalamannya yang tidak terkecuali menerima mesej langsung (Direct Message) menerusi akaun sosial medianya, Sean menegaskan, bukan sahaja perempuan malah lelaki juga ada mengirim gambar dan berani untuk berkenalan dengannya.

“Memang ada. Ada gadis menghantar gambar seksi mereka tapi saya tidak memabalasnya.

“Tapi, yang paling saya terkejut, ramai juga lelaki yang DM saya untuk berkenalan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sean kini mengacarakan program Famili Duo bersama Janna Nick.

Famili Duo menampilkan pasangan peserta yang terdiri daripada selebriti popular bergandingan dengan ahli keluarga mereka.

Penyanyi Mas Idayu dan komposer Ajai pula menggalas tugas sebagai juri tetap untuk program terbabit.

Antara tujuh pasangan peserta yang bersaing di musim baharu Famili Duo ialah, Ara Johari & Shaffiq Erwin (sepupu), Ayda Jebat & Fyna Jebat (adik-beradik), Bella Astillah & Wani Kayrie (sepupu), Sabhi Saddi & FareedPF K-Clique (Adik Beradik), Sissy Imann & Naim Daniel (Sepupu), Siti Sairah & Siti Saida (adik-beradik) dan Yamani Abdillah & Zaki Yamani (adik-beradik).

Jangan lupa saksikan Famili Duo musim kedua bermula 18 Disember 2022, setiap Ahad, 9.00 malam hanya di TV3.

 

Salma Syahbuddin