Categories: HiburanTrending

“Jadilah Wanita Berduit, Wanita Cantik Dah Banyak!” – Ifa Raziah Minta Wanita Utamakan Kerjaya

Pelakon senior dan personaliti TV terkenal, Ifa Raziah meminta agar wanita berpendirian teguh, berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu terlalu bergantung sepenuhnya pada pasangan.

Trauma dengan kes-kes curang dan pergolakan rumah tangga yang berlaku, Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 45 mengingatkan wanita lain untuk mengutamakan kerjaya berbanding rupa yang cantik semata-mata.

“Jadilah wanita yang berduit kerana wanita yang cantik dah banyak!” kata Ifa dalam sebuah sesi temu bual bersama majalah Nona.

Menurut Ifa yang kini merupakan Pengarah Urusan dan Pengasas jenama StarVendors, sikap yang tegas dan berpendirian teguh membuatkan dirinya menjadi kuat untuk mengendalikan syarikat.

“Saya sebenarnya seorang individu yang bersemangat dan suka memberikan komitmen dalam setiap pekerjaan. Termasuklah dalam arena bisnes,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ifa berharap agar perniagaan yang diusahakan sekarang dapat diwarisi oleh anak-anak kelak.

Pemegang trofi Artis Versatil Popular ABPBH29 & ABPBH30 itu turut memberitahu keinginan untuk memberikan fokus sepenuhnya dalam beribadah apabila menjengah usia tua nanti.

Justeru, anak-anak yang akan menjadi penyambung legasi perniagaannya.

“Harapan saya agar suatu hari nanti semua kerja keras ini dapat meninggalkan legasi kepada anak-anak.

“Mungkin bila dah berusia nanti, saya dapat abadikan diri beribadah sepenuh masa sambil memantau saja bisnes yang mereka uruskan,” ujarnya lagi.

Bertanya mengenai perkembangan terkini dalam bidang seni, Ifa masih sahaja menerima banyak tawaran di stesen-stesen televisyen.

“Sebenarnya saya banyak menerima job daripada stesen TV, kehadiran saya sedikit sebanyak menaikkan rating program. Selagi masih larat dan kudrat mengizinkan, saya mahu terus aktif dalam bidang seni,” katanya.

Syamir Shafie