Jawab Isu Sindiran Baby Shima, Ustazah Asma Sudi Anjur Konsert Bersama Artis Tetapi…

Susulan isu penyanyi dangdut, Baby Shima menyindir seorang pendakwah bebas sebelum ini gara-gara tidak bersuara mengenai konsert yang dianjurkan di Kelantan.

Baru-baru ini, pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun tampil menjelaskan mengenai penganjuran konsert tersebut yang menimbulkan rasa ketidakpuasan hati penyanyi Baby Shima.

Ujar Ustazah Asma, dia tetap mengambil kesempatan untuk menjelaskan isu ini walaupun agak terlambat.

“Terima kasih Cik Shima. Buka mata kami, wujudnya konsert di Kelantan seperti ini.

“Saya agak ketinggalan dalam isu ini, baru dapat menelitinya semalam. Ada hikmah apa yang Cik Shima bangkitkan,” tulis Ustazah Asma.

Sehubungan itu, Ustazah Asma memaklumkan bahawa penganjuran tersebut mempunyai kawalan dan syarat yang ketat yang terkandung dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan serta Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003.

“Tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan. Masyarakat mula melihat ada satu negeri yang bersungguh dalam menguruskan kehendak manusia untuk berhibur agar mengikut syariat, walaupun di sana masih ada banyak ruang yang boleh dibaiki,” jelasnya.

Namun begitu, Ustazah Asma turut menjelaskan bahawa para pendakwah bukan anti akan Baby Shima atau penyanyi sepertinya.

“Kepada Cik Shima yang menyeru dan tidak berpuas hati dengan penceramah dan pendakwah yang berdiam seolah tidak bersuara dan tidak berlaku adil.

“Suka untuk diberitahu bahawa saya sendiri dan para pendakwah tidak pernah sesekali anti secara khusus pada Cik Shima ataupun mana-mana penyanyi dan penari seperti anda,” tulisnya lagi.

Malah, Ustazah Asma memberitahu bahawa mereka sudi untuk menganjurkan konsert tertutup khusus buat perempuan sahaja jika Baby Shima atau mana-mana artis yang sudi.

“Bahkan kami sudi dan boleh aturkan satu konsert yang tertutup khusus buat perempuan sahaja dan seandainya Cik Shima dan rakan artis sudi, kitab oleh sama-sama mengalunkan lagu yang sesuai, nasyid ataupun berqasidah. Saya benar-benar maksudkannya. Bukan hanya untuk menyindir,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ustazah Asma’ turut mengharapkan industri hiburan di Malaysia akan berlandaskan pada syariah seperti digariskan agama pada penutup hantarannya.

“Sahabat semua, muzik bukanlah satu perkara yang boleh dihukumkan sebagai harus secara mutlak atau diharamkan secara mutlak.

“Para ulama’ yang mengharamkan muzik dan nyanyian telah menyatakan alasan dan hujah mereka secara terperinci, manakala yang mengharuskan pula menetapkan syarat-syarat dan garis panduan yang mesti dipatuhi,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Atiqah Johari