Categories: HiburanTrending

Kena Pijak? Zizi Kirana Sindir Siapa?

Terkenal dengan karya berbentuk teguran, penyanyi Zizi Kirana, 37, menafikan dirinya menyindir mana-mana pihak dalam lagu terbaharunya yang berjudul Pijak.

Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil muncul dengan single hasil ciptaannya sendiri bersama Navigator dan Mambang serta ia merupakan kesinambungan kepada lagu Eh yang mana menceritakan mengenai orang yang mengambil kesempatan di atas kebaikan dan kelemahan orang lain.

“Pendek kata lagu ini menggambarkan sikap seseorang yang suka pijak kepala. Ini antara cara untuk saya sampaikan nasihat. Saya tak sindir sesiapa, tetapi saya sampaikan lagu ini sebagai peringatan kepada diri sendiri.

“Bukan nasihat untuk orang saja, tapi untuk saya sendiri supaya tidak ambil kesempatan atas orang lain. Jadi kita saling menasihati antara satu sama lain dan sebab itulah ada kesinambungan antara lagu Eh dan lagu Pijak ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zizi berkongsi dia tetap berdepan cabaran dalam penghasilan lagu dan video muzik Pijak.

“Proses rakaman lagu ini sebenarnya daripada tahun lepas tapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi ia tertangguh hingga kita kena buat demo di rumah sahaja. Apabila sudah dibenarkan keluar selepas PKP barulah pergi buat rakaman di studio.

“Cabaran dalam menyiapkan lagu dan video muzik ini bermula dari tahun lepas. Macam yang saya cakap disebabkan kita PKP pada tahun lepas dan tak boleh merentas negeri. Studio saya di Klang dan saya tak boleh pergi disebabkan saya berada di Kuala Lumpur pada ketika itu.

“Dalam masa sama, cabaran besarnya adalah apabila saya nak keluarkan lagu baharu selepas lagu Eh sebab saya tidak tahu apa akan jadi tapi saya lalui saja macam biasa,” katanya.

Sama seperti single terdahulu, Zizi juga berharap lagu PIJAK mendapat di hati peminat dan pencinta muzik tanah air.

“Jadi, harapan saya untuk lagu PIJAK ini diterima sebab lagu ini dibuat berdasarkan apa yang sering terjadi dalam masyarakat kita dan kehidupan harian kita. Semoga lagu ini diterima dengan baik oleh semua lapisan masyarakat dan diterima dengan hati terbuka,” katanya.

Padin