Kes Mahkamah: Muat Naik Komunikasi Bersifat Sumbang, Vida Mengaku Tidak Bersalah

Usahawan terkenal, Datuk Seri Vida mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membuat hantaran komunikasi bersifat sumbang dalam satu video muzik beberapa bulan lalu.

Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 51, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, OKS didakwa dengan menggunakan aplikasi akaun YouTube ‘DSV Entertaiment’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang sumbang sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 29 April lalu.

Hantaran tersebut kemudian dilihat pukul 11.06 pagi pada 5 Mei lalu di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyberjaya.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Fazril Sani Mohamed Fadzil, mencadangkan jaminan RM10,000.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Vida, Datuk Adnan Seman memohon jaminan dikurangkan kepada RM2,000 dengan alasan ia kesalahan pertama OKS.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Ahmad Fuad kemudian mengarahkan Vida membayar jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Beliau kemudian menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh sebutan untuk serahan dokumen.

Sumber: Kosmo

Khairil Khusyairi