Categories: HiburanTrending

Lagu Baru Diterima Peminat, Irfan Haris Mahu Ceburi Bidang Lakonan Pula

Nama Irfan Haris pernah menjadi sebutan menerusi lagu hitsnya berjudul Redha.

Memiliki vokal tinggi dan meminati genre ‘balada’ membuatkan Irfan selesa dengan karya-karya yang disifatkan ‘sendu.

Penyanyi berusia 21 tahun itu kini mempunyai naskhah baharu buat peminatnya yang berjudul Bisik.

Meskipun baru sahaja dilancarkan, lagu tersebut sudahpun membolosi carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

“Alhamdulillah, ini adalah pencapaian yang memberangsangkan dan di luar jangkaan buat Bisik.

“Apabila syarikat pengurusan ucapkan tahniah, saya tidak sangka dan terkejut. Kali terakhir lagu saya bolos Carta RIM adalah pada 2017 menerusi single kedua saya, Pesan.”

“Bagaimanapun enam buah lagu lain yang dihasilkan selepas itu tidak berjaya masuk carta, sehinggalah Bisik yang menjadi single kelapan.” katanya

Disoal mengenai perancangan masa hadapan. Adik kepada penyanyi Amira Othman itu mempunyai impian untuk menceburi bidang lakonan.

“Saya mahu cuba berlakon. Menerusi pengajian dalam jurusan seni hiburan, saya belajar berlakon dan menjiwai sesuatu watak.”

“Sejak dua tahun lalu, saya belajar tentang industri seni, jadi saya mahu cuba kalau ada rezeki ke arah itu,”katanya.

Sekadar info, Irfan bakal bergelar lulusan Diploma Seni Hiburan di KDU University College.

Sumber: Kosmo

Khairil Khusyairi