Lelaki Mengaku Pereka Fesyen Hilangkan Diri, Duit Adam Corrie RM100,000 Kena Songlap

Pelakon Adam Corrie lebih berhati-hati dalam menjalankan urus niaga dengan mana-mana pihak apabila pernah ditipu oleh rakan sendiri.

Memetik laporan Utusan, Adam atau nama sebenar Adam Corrie Lee Abdullah, pengalaman tersebut mengajarnya utnuk tidak mudah mempercayai mana-mana individu terutama jika melibatkan wang ringgit.

“Saya terima banyak tawaran untuk buka gerai, tetapi banyak juga yang saya tolak kerana selain tiada tenaga kerja mencukupi, pemberi sewa meminta bayaran pendahuluan secara cash.

“Sebelum ini saya kerugian RM100,000 gara-gara ditipu seorang lelaki yang mendakwa dirinya pereka fesyen. Dia menghilangkan diri dan sampai hari ini wang tidak dikembalikan.

“Disebabkan itu saya cukup berhati-hati apabila melakukan urus niaga tunai kerana saya tak mahu pisang berbuah dua kali,” ujarnya.

Adam yang menceburkan dalam bidang perniagaan baju kurta sejak sembilan tahun mengakui pelbagai cabaran terpaksa dilaluinya.

“Sembilan tahun saya bergelut, perjalanan yang saya tempuh tidak mudah.

“Macam-macam saya hadapi, dituduh bidaah, ditipu rakan dan sebagainya. Tetapi, Alhamdulillah, rezeki tidak putus dan baju yang saya jual, laris.

“Segala kesulitan dan masalah yang saya hadapi, saya adukan kepada Allah sahaja. Itu adalah kekuatan, selain sokongan isteri yang membuatkan perniagaan saya bertahan sehingga hari ini,” katanya.

Maya Basir