Categories: Hiburan

Luaskan Jejak Dalam Bidang Seni, Harris Baba Jadi Penganjur Konsert… Bakal Terbangkan Armada Band Ke Sabah!

Mencuba cabang lain dalam bidang seni, penyanyi Harris Baba kini berjinak dalam bidang pengurusan acara dan konsert.

Pelantun lagu Katakan itu bakal menerbangkan kumpulan popular Indonesia, Armada Band ke Sabah bagi mengadakan konsert di sana.

Berlangsung pada Sabtu, 4 November 2023 jam 8 malam, konsert Armada – Janji Bahagia akan diadakan di Sabah International Convention Centre (Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah), SICC.

Konsert ini merupakan projek pertama Harris bersama isteri, Nik Naziha Zawawi di bawah syarikat milik mereka, Jeeharris Corporation.

Fokus Jeeharris Corporation ialah menjurus kepada pengurusan acara serta konsert dan syarikat ini telah banyak menjayakan pelbagai acaradi Sabah dan konsert ini merupakan konsert pertama anjuran mereka.

Menurut Harris, mereka memilih Armada yang diangotai oleh vokalis Rizal Adi, drummer Meri Yandi dan gitaris Andika Maihendra kerana kumpulan ini antara band Indonesia yang popular dan banyak lagu-lagu mereka dikenali di Sabah.

“Antara lagu-lagu yang bakal dinyanyikan termasuklah Bebaskan Diriku, Asal Kau Bahagia, Pergi Pagi Pulang Pagi dan banyak lagi.

“Kami berharap mendapat sokongan yang menggalakkan daripada peminat-peminat Armada Band di Sabah dan sekali gus dapat memeriahkan lagi aktiviti pelancongan dan mengalakkan lebih banyak persembahan konsert di Sabah.

“Kami juga akan menjadikan konsert ini sebagai satu tarikan untuk penduduk dari Labuan, Sarawak dan Brunei untuk datang menyaksikan bersama persembahan Armada band secara live,” katanya.

Tentang perancangan lanjut mengenai syarikatnya, Harris berkata, mereka bakal membawakan lebih banyak konsert tidak lama lagi.

“Insya-Allah, lebih ramai lagi artis luar negara untuk mengadakan persembahan di Sabah. Dalam pada itu kami kini dalam perbincangan untuk membawakan band lain untuk mengadakan persembahan pada Januari 2024.

“Untuk konsert Armada ini, kami sedang meneliti beberapa nama penyanyi tempatan Sabah untuk dijemput mengadakan persembahan pembukaan bakal pada konsert ini,” katanya.

Tiket telah mula dijual di www.myticket.asia pada 24 Julai lalu pada harga bermula RM129 sehingga RM799 (seating and meet & greet).

Padin