Meerqeen Tertekan Mahu Penuhi Ekspektasi Peminat Drama Melur Untuk Firdaus 2

Pelakon Meerqeen, 21, merasa tertekan untuk memenuhi jangkaan peminat selepas kejayaan luar biasa drama rantaian Melur Untuk Firdaus.

Meerqeen dan rakan pelakon, Anna Jobling yang bakal muncul dalam Melur Untuk Firdaus 2 tidak menolak kemungkinan terbeban kerana mereka ingin memberikan yang terbaik selepas kejayaan diraih sebelum ini.

“Secara jujurnya, saya dan Anna rasa sedikit tertekan untuk memenuhi jangkaan peminat kerana kami sentiasa ingin memberikan yang terbaik. Insya-Allah, kami akan cuba sebaik mungkin.

“Saya juga mengharapkan drama bwrsiri ini akan mendapat sambutan yang lebih hebat berbanding musim pertama. Apa yang boleh saya katakan, drama kali ini akan menampilkan kelainan. Kami tak sabar nak mulakan penggambaran,” katanya.

Ketika ditanya mengenai penerimaan peminat terhadap kerjaya lakonannya, Meerqeen gembira kerana kerja kerasnya untuk drama ini diterima baik penonton.

Pemilik nama Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam ini turut gembira dengan rakan lakonnya, Anna Jobling kerana watak Melur yang dibawakan sangat berat.

“Saya seronok dan Anna juga seronok dengan penerimaan peminat sehingga kini. Kami bekerja keras bagi menjayakan drama ini, terutama sekali buat Anna.

“Karekter yang dibawakan sangat berat, jadi saya gembira bagi pihak dia. Dia layak untuk mendapatkan apa yang dikecapinya saat ini,” katanya lagi.

Difahamkan, drama Melur Untuk Firdaus musim kedua dijangka akan memulakan penggambarannya pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

Drama rantaian Melur Untuk Firdaus yang disiarkan di TV3 melalui slot Lestary mencetuskan fenomena apabila berjaya merekodkan jumlah tontonan sebanyak 11 juta penonton dari awal sehingga episod akhir ia ditayangkan.

 

Salma Syahbuddin