“Memang Tak Sangka Ia Berlaku” – Man Kidal Diisytihar Muflis Gara-Gara…

Pemain gitar hebat, Man Kidal diisytihar muflis gara-gara seorang rakan menggunakan namanya sebagai penjamin untuk pembelian sebuah kereta gagal melunaskan bayaran.

Memetik laporan Utusan, Man atau nama sebenar Abdul Rahman Mahmood mendapat tahu perkara tersebut selepas menerima notis bankrupsi daripada mahkamah.

“Dalam notis tersebut, saya diarahkan melunaskan separuh daripada bayaran penuh berjumlah RM340,000 untuk membersihkan nama.

“Memang tidak sangka ia berlaku dan saya perlu buat surat menyatakan komitmen untuk membayar setiap bulan seperti yang ditetapkan,” jelasnya.

Susulan perkara itu, dia terpaksa ke Jabatan Insolvensi bagi mendapat perlepasan untuk ke Jakarta, Indonesia bagi urusan kerja.

“Dua minggu lalu saya hadir ke Jabatan Insolvensi untuk memohon kelonggaran bagi melepaskan saya ke Jakarta membuat persembahan sempena konsert Kolaboraci Three To Rock, bulan depan.

“Saya masih menunggu maklum balas daripada pihak mereka. Salah saya kerana terlalu mempercayai orang.

“Selepas dijangkiti Covid-19 dan menjalani pembedahan, ini satu lagi ujian besar yang perlu saya hadapi ,” katanya.

Menurutnya, ujian ini membuatkan dirinya sentiasa berjaga-jaga kerana bimbang masalah kesihatan menganggu urusan kerjayanya.

“Pada usia begini, saya kena rehat secukupnya dan ambil makanan tambahan untuk memastikan stamina dapat dikembalikan,” katanya.

Sumber: Utusan

Kredit foto: Utusan & Harian Metro

Maya Basir