Mengakui Kekhilafannya, Eric Fuzi Mohon Maaf Kali Kedua

Pelakon dan anggota kumpulan Floor 88, Eric Fuzi memohon maaf secara terbuka kepada wakil media berikutan insiden yang berlaku pada tahun lalu semasa promosi secara virtual telefilem Hutang 2D.

Eric yang hadir membuat persembahan pada majlis ulang tahun kelima Floor 88 memaklumkan dia tidak bermaksud untuk mencetuskan kontroversi dan salah faham dengan beberapa wakil media.

“Cuma, sebagai manusia biasa saya pun tidak terlepas daripada kekhilafan ketika itu. Justeru, di kesempatan ini, saya sekali lagi ingin memohon maaf sepenuh hati kepada semua wakil media yang banyak membantu Floor 88 selama ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua wakil media di atas kesudian terus menyokong Floor 88 dalam karier seni kami sama ada sebagai pemuzik, pelakon dan semua cabang yang diceburi. Alhamdulillah, atas sokongan diberikan itu, kami dah bertahan selama lima tahun,” katanya.

Menurutnya, dia sudah memohon kemaafan sejak Ramadan lalu dan memohon maaf sekali lagi kerana berasakan wajar untuk dilakukan.

Permohonan maaf secara terbuka oleh Eric diterima baik oleh semua pihak media.

Pada masa sama, Floor 88 juga mahu meneruskan kerjasama baik dengan wakil media hiburan tempatan.

Terdahulu, Eric bertindak kurang berpuas hati dengan berita yang disifatkan cerita peribadi berkaitan kelangsungan hidupnya yang dikataan tiada sumber pendapatan dan terpaksa menggunakan wang simpanan.

Maya Basir