“Mestilah Ada Rasa Gugup, 8 Tahun Tiada Tawaran…”- Shamsul Ghau-Ghau Akui Takut Gara-Gara…

Pelakon dan pelawak, Shamsul Ghau-Ghau mengakui sedikit gementar dan berasa takut apabila diberikan tawaran membawakan watak utama dalam siri drama komedi terbaru TV9, Guard Komando.

Menurut Shamsul atau nama sebenarnya, Shamsul Azhar Zainal Abidin, 54, perasaan takut itu muncul apabila sudah lapan tahun tidak mendapat tawaran membawakan watak utama apatah lagi kali ini beliau digandingkan bersama pelakon popular tanah air.

“Apabila dah lama tidak melakonkan watak utama, mestilah ada rasa takut, gugup dan gementar itu. Apatah lagi, melihatkan tiga pelakon lain yang menjadi anak saya iaitu Fendy Bakry, Mark Adam dan Jiggy Masin.

“Mereka pula saya dapati mempunyai kelebihannya yang mana, Fendy ialah seorang pelakon popular, Mark pula ada berjuta pengikut di Instagram dan Jiggy kini menjadi antara pelawak ‘current’ lah orang kata… yang semakin mendapat perhatian ramai. Jadi, memang ada sedikit kebimbangan untuk berlakon pada mulanya.

“Tapi, alhamdulillah kami dapat wujudkan keserasian sebagai anak-beranak,” katanya.

 

Shamsul ditemui ketika sidang media secara maya baru-baru ini turut memaklumkan, beliau lebih senang untuk berbincang bersama pengarah dan pelakon lain jika ada scene atau skrip yang terlalu panjang sehingga menyukarkan beliau untuk mengingati dialog tersebut.

“Mana babak aksi yang rasa tak mampu nak buat, saya beritahu pengarah, Mp Roslin. Malah, jika ada dialog panjang yang saya sukar nak ingat, Fendy biasanya akan bantu bagi ‘keyword’ tertentu. Begitu juga, Mark dan Jiggy.

“Kami bekerja umpama satu keluarga besar dan saya suka suasana yang sebegitu. Ia boleh dikatakan tanpa sedar membuatkan ikatan sesama kami sebagai bapa dan anak menjadi rapat,” jelasnya.

Untuk makluman, drama bersiri 20 episod ini turut menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Shamsul Ghau Ghau, Fendy Bakry, Mark Adam, Jiggy Masin, Ayunie Rizal dan ramai lagi.

Drama Guard Komando juga akan bersiaran pada setiap hari Khamis dan Jumaat, pukul 8.30 malam menerusi slot Diandra, TV9.

 

Salma Syahbuddin