Mummy Takkan Kejar ‘Lelaki’!

Penyanyi Mas Idayu atau lebih mesra dengan panggilan Mummy mengakui tidak ada lelaki yang berani dekat dengan diri beliau walaupun naluri untuk menjadi seorang isteri tidak pernah padam dalam hatinya yang kini sudah menjangkau usia 49 tahun.

“Agaknya mereka takut kerana menyangkakan saya seorang yang garang. Takkanlah saya pula yang terpaksa mengejar lelaki?

“Saya sebenarnya lebih suka lelaki berusia kerana mereka akan menjaga kita dengan baik, selain membuat saya berasa lebih selamat.

“Tetapi, apabila ada yang mendekati, biasanya lelaki itu lebih muda. Saya tidak mahu lelaki muda kerana biasanya, golongan itu hanya mahu mengikis duit kita,” katanya.

Menurut mummy, untuk menerima seorang lelaki dalam hidupnya bukanlah mudah kerana beliau sendiri harus memikirkan perasaan anak tunggalnya, Nur Dayini Ashiqah. 

Terdahulu, anak tunggal mummy ini pernah memberitahu tidak mengizinkan mummy berkahwin lagi kerana bimbang dirinya tidak disayangi.

“Cakapnya itu membuatkan saya terpaksa berfikir panjang. Sebelum ini, apabila bekas suami berkahwin semula, dia menangis.

“Katanya, papa sudah tidak sayang dia lagi apabila berkahwin lain hingga saya terpaksa menasihatkannya supaya reda dengan jodoh bapanya.

“Saya pujuk dia dengan memberitahu, sekurang-kurangnya nanti, ada orang yang boleh menjaga papanya.

“Kalau begini gayanya, nampaknya sampai bila-bila saya akan terus menjanda,” Tambahnya.

Sebelum ini, juri tetap bagi program #mentor7 ini  pernah mendirikan rumahtangga bersama pelakon Aman Graseka pada 1997 namun berpisah pada tahun 2006. 

Salma Syahbuddin