Musly Ramlee ‘Hidupkan’ Semula Watak Kassim Selamat

Dengan gaya dan penampilan yang saling tak tumpah seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, tidak hairanlah pemilik nama Musly Ramlee ini sering mendapat perhatian.

Musly Ramlee atau nama sebenarnya Musly Amir Mohamed Ramli ketika ditemui sejurus tamat Konsert Semalam Di Malaya memberitahu dia bakal ‘menghidupkan’ semula watak Kassim Selamat dalam sebuah filem tak lama lagi.

Saya sudah mendapat pelabur yang bersetuju untuk memberi dana menghasilkan filem Ibu Mertuaku. Jangan salah faham, filem ini tidak dimodenkan tetapi ia merupakan kesinabungan filem berkenaan.

“ Jika kita tonton filem Ibu Mertuaku, pasti anda akan tertanya, bagaimana watak anak Kassim Selamat iaitu Tajudin apabila besar kelak, apa nasib Sabariah selepas Kassim pulang ke Pulau Pinang bersama Chombie dan bagaimana kesudahan nasib Kassim Selamat pula?

“ Apa yang membuatkan filem ini ‘mahal’ kerana cerita Ibu Mertuaku tidak lagi akan tergantung. Ya, saya akan ‘hidupkan’ kembali watak Kassim Selamat, doakan agar semua berjalan lancar,” katanya kepada xtra.com.

Ketika ditanya siapa pelakon lelaki yang bakal membawakan watak Kassim Selamat, Musly memberitahu dia masih tidak boleh mendedahkannya lagi.

“ Sudah ada bayangan dalam fikiran saya. Yang pasti, saya tidak membawa watak Kassim Selamat kerana saya rasa pelakon ini lebih sesuai untuk membawakan watak berkenaan.

“ Saya berharap peminat dan penonton filem-filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee akan menyokong penuh filem Kassim Selamat. Mungkin bukan saya yang berlakon tetapi saya akan sumbangkan idea dan suara untuk dialog, Insya Allah,” akhirinya.

Watak Kassim Selamat popular dalam filem Ibu Mertuaku yang ditayangkan pada tahun 1962 terbitan Malay Film Productions Ltd (MPF). Filem ini mengangkat kisah percintaan antara Kassim Selamat dan Sabariah di mana dua insan yang berbeza darjat mengambil keputusan untuk berkahwin.

SGMS Faida