Nama Dipetik Kikis Duit Wanita, Taufiq Hanafi Tampil Buka Mulut – “Itu Fitnah & Jatuhkan Karier Saya”

Pelakon Taufiq Hanafi mengaku agak terkesan dengan tuduhan yang mengatakan dirinya ‘kaki kikis’ duit wanita.

Menurut Taufiq atau nama penuhnya, Mohamad Taufiq Mohd Hanafi, 32, walaupun terpalit dengan gosip sedemikian, namun dia tidak mahu mengambil pusing mengenai perkara itu.

“Saya tak mahu ambil kisah dan anggap berita itu tentang artis luar negara.

“Tapi saya rasa tak sedap bila netizen secara terang-terangan memetik nama saya sebagai individu yang dimaksudkan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Taufiq Hanafi, Anim Ezati Sedang Bercinta… Harap Hubungan Sampai Ke Jenjang Pelamin – “Dia Pandai Ambil Hati Saya & Keluarga”

Mengulas lanjut, pelakon filem Malbat: Misi Baskara itu menegaskan, dia tidak mempunyai motif untuk melakukan perkara sedemikian kerana dia bukanlah lahir daripada keluarga yang susah.

“Nak kikis apanya? Saya pun hidup dalam keluarga yang alhamdulillah semuanya serba serbi.

“Kenapa saya nak kena buat macam tu, sedangkan keluarga boleh bantu sekiranya saya susah dan tuduhan itu adalah tidak manis kerana turut melibatkan mereka.

“Saya hanya mahu bersihkan nama saya tapi kalau individu itu bukan maksudkan saya, alhamdulillah,” jelasnya.

Taufiq bagaimanapun hanya berserah kepada ketentuan Tuhan sekiranya tuduhan fitnah itu dibuat atas dasar ingin menjatuhkan kerja seninya.

“Kalau gosip itu memang fitnah dan nak menjatuhkan kerjaya saya, saya tak boleh nak kata apa dan hanya berserah kepada Allah untuk membalas perbuatan mereka,” ujarnya.

 

Sumber: mStar

Salma Syahbuddin