Nelissa Nizam Menggigil Baca Skrip Gara-Gara Trauma Kena Gangguan Seksual – “Macam Flashback Apa Yang Berlaku…”

Pelakon Nelissa Nizam mengaku masih trauma dengan gangguan seksual yang terjadi kepadanya.

Memetik laporan Kosmo, dia memberitahu kejadian berlaku semasa pembabitan awalnya dalam industri seni.

Malah, sikap peramah kerana bimbang dicop sombong menjadi penyebab orang lain mengambil kesempatan.

“Saya sentiasa cuba untuk menjadi seorang yang peramah agar orang senang dengan diri kita. Tapi kadang-kadang kita terlalu baik, orang akan salah erti orang itu.

“Apabila ada individu yang cuba tarik kita, buat sesuatu yang agak melampaui batas, perkara itu buat saya jadi trauma.

“Ketika itu saya masih budak dan mentah, dapat pula orang yang lebih berkuasa dan besar daripada kita, senang sahaja untuk dia ambil kesempatan,” ujarnya.

Susulan kejadian itu, Nelissa terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk mendalami watak Saleha dalam siri Astro Original, Riot dek kerana jalan cerita tersebut begitu dekat dengannya.

Selain itu, seluruh badannya juga menggigil trauma apabila membaca skrip tersebut akibat teringat semula kejadian pahit yang menimpanya.

“Ini adalah karakter sangat berkaitan dengan diri saya, menggigil ketika baca skrip sebab saya pun pernah kena benda yang sama macam watak tersebut.

“Pengalaman saya sama macam babak yang berlaku dalam kereta yang digambarkan dalam siri berkenaan, macam ‘flashback’ apa yang berlaku pada saya sebelum ini,” katanya.

Namun, dia bersyukur dikelilingi pelakon senior yang sangat membantu dan menghormati dirinya sebagai seorang wanita.

“Syukur pelakon lain seperti abang Rashidi Ishak yang sangat profesional menggalas watknya bahkan dia juga meminta izin untuk menyentuh saya.

“Kami memang ada berbincang dulu teknik, dekat mana mahu pegang dan sebagainya untuk lebih selesa dan tidak berlebihan,” katanya.

Terdahulu, pelakon Sarimah Ibrahim juga tampil berkongsi dirinya pernah menjadi mangsa gangguan seksual ketika awal kemunculannya dalam industri.

ARTIKEL BERKAITAN: Disuruh Pakai Seksi Depan Seorang Pengarah, Sarimah Ibrahim Dedah Pernah Kena Gangguan Seksual

Maya Basir