Pembedahan Apendiks Berjaya, Uyaina Arshad Alami Keradangan Dinding Rahim

Selepas memaklumkan dirinya mengalami serangan apendiks beberapa hari lalu, pelakon dan pengacara Uyaina Arshad kini telah selamat menjalani pembedahan.

Namun, menerusi perkongsian terbaharu yang dimuat naik di Instagram Story miliknya, Uyaina sempat berkongsi keadaan terkini beliau yang kini masih dirawat di hospital selepas dilaporkan mengalami keradangan dinding rahim.

Menurut Uyaina, dia kini terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit atau painkillers bagi menahan kesakitan yang dialaminya.

Bagaimanapun, doktor menasihatkan agar pengacara Wanita Hari Ini itu tidak bergantung sepenuhnya kepada ubat tahan sakit tersebut kerana ia boleh membahayakan bayi di dalam kandungan.

“Assalamualaikum semua. Apendiks saya telahpun berjaya dikeluarkan.Tapi malangnya terdapat keradangan disekitar dinding rahim.

“Saya kini masih dirawat di hospital dan bergantung pada painkillers. Tapi, doktor tak boleh nak bagi setiap masa sebaba ia bahaya untuk bayi.

Justeru itu, Uyaina atau nama sebenarnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 30, memohon agar peminat dan followers beliau sentiasa mendoakan kesihatan buat dirinya dan juga bayi dalam kandungan.

“Buat masa sekarang, saya terpaksa menahan kesakitan dan terus bertahan. Tolong doakan saya,” katanya.

 

Salma Syahbuddin