Pendakwah Masuk Bidang Politik, Ustaz Elyas Ismail Beri Pandangan – “Kita Doakan Yang Baik”

Pendakwah bebas, Ustaz Elyas Ismail memberi pandangan terhadap sesetengah pendakwah yang menceburi bidang politik.

Menerusi muat naik video di Instagram, Ustaz Elyas menjelaskan bagaimana seseorang pendakwah atau ahli ulama itu boleh menjadi pemimpin.

“Kalau ikutkan pendakwah dan ilmuwan ni bidangnya luas.

“Sejak dari dahulu lagi ada ulama orientasi lebih kepada pondok, pesantren, kitab kuning, kitab Thurat malah ada juga di peringkat universiti dan ada juga di sekitar desa dan kampung.

“Ada juga alim ulama kita yang bercakap tentang isu politik, kenegaraan, kepimpinan tapi dia bukan pemimpin ataupun menteri.

“Tetapi ada juga ulama kita yang cakap tentang kepimpinan, kerajaan, politik, mungkin dia juga menteri, terlibat dalam politik, sebagai contoh kita ambil seperti Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz yang juga merupakan mantan Menteri Besar Kelantan dahulu.

“Maknanya dia seorang pendakwah mengajar sana sini, mengajarkan umat tetapi dalam masa sama dia juga pemimpin dan memberikan contoh dan nilai-nilai yang baik.

“Pada saya kita doakan yang baik, yang penting siapa pun pendakwah ke apa pun yang jadi calon pertama adalah niat kepada Allah SWT, kedua untuk bangunkan ummah dan ketiga laksana tugas dengan jujur seperti mana yang diajar Rasullullah.

“Itu sahaja, kalau janji, mesti dipenuhi apa yang telah dijanjikan itu,” tutupnya.

Hasil tinjauan XTRA di ruangan komen mendapati rata-rata warganet memberikan pelbagai reaksi terhadap pandangan pendakwah tersebut malah ada juga yang bersetuju dengan persepsi seseorang pendakwah boleh menceburi arena politik biarpun bergelar ahli agama.

Khairil Khusyairi