Categories: HiburanTrending

Pengarah Diganggu Pengalaman Mistik Sewaktu Penggambaran – “ Babak Baring Dalam Kubur, Tiba-Tiba Seluruh Badan Ditumbuhi Gelembung Gatal!”

Pengarah Arjin Uppal terpaksa menempuhi pengalaman mistik sepanjang menjalani penggambaran filem seram berjudul Musyrik – Api Neraka Menantimu!

Menerusi naskhah terbitan White Merpati Entertainment itu, ia menampilkan lakonan Aeril Zafrel, Ashraf Muslim, Ruhainies, Aishah Ilias, Qaseh Shuhada, Arwan Umar, Neera Azizi dan ramai lagi.

Menurut sutradara berbakat ini, antara kejadian pelik yang terpaksa diharungi adalah ketika Aishah menjayakan karakter isteri kepada Aeril bernama Wati.

“Ia membabitkan babak Aishah baring dalam kubur. Secara tiba-tiba, seluruh badan Aishah ditumbuhi gelembung gatal dan penggambaran tidak dapat diteruskan.

“Aishah terpaksa dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan dengan segera. Keadaan Aishah hanya okay selepas berehat dan penggambaran hanya disambung semula pada keesokan harinya.

“Saya percaya kejadian aneh yang menimpa Aishah adalah gangguan mistik,” katanya.

Tambah Arjin, babak yang membabitkan Ruhainies memegang batu nesan di tanah perkuburan pada jam 3 pagi juga memberikan aura seram sepanjang penggambaran.

“Batu nesan bukanlah props, sebaliknya saya menggunakan batu nesan sebenar diambil dari tanah perkuburan berkenaan bagi merealisasikan babak ini.

“Ia sepatutnya hanya satu babak panjang, tetapi apabila potong babak ini, kamera masih berpusing dan tidak berhenti seolah-olah ada sesuatu yang menggerakkannya. Bayangkan, kamera masih menyala selepas ‘switch’ ditutup.

“Hanya selepas bateri dikeluarkan daripada kamera barulah ia berhenti berpusing,” katanya.

Menjalankan penggambaran di rumah kampung lama yang kosong serta di Kawasan tanah kubur, Arjin masih mengingati perkara pelik yang ditempuhi oleh tenaga produksi.

“Saya masih ingat kami diminta penjaga menyiapkan babak di rumah lama berkenaan sehingga jam 12 tengah malam.

“Namun, babak dalam rumah hanya selesai pada jam 2 pagi. Seterusnya, kami terus ke lokasi tanah perkuburan.

“Ketika di tanah perkuburan, saya dapatkan merasakan sesuatu menyentuh belakang leher. Saya percaya ia gangguan mistik, tetapi saya buat tak tahu.
“Ada sekali tu, saya pergi belakang rumah untuk mencuci tangan, tetapi secara tiba-tiba, air paip berhenti mengalir.

“Perasaan saya bercampur berbaur, tetapi saya perlu kuatkan semangat dan bersabar berdepan satu demi satu kejadian aneh.

“Kawasan hutan itu hanya di belakang rumah lama tidak berpenghuni itu. Sebelum penggambaran, kru masuk hutan untuk memasang lampu terlebih dahulu.

“Secara tiba-tiba, lampu dipasang berkelip-kelip. Mujur, kru tidak panik dan buat tidak tahu hingga lampu menyala semula, sebelum penggambaran dimulakan,” katanya.

Filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! mula menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 7 Julai depan.

Padin