“Penyanyi Ada Soul, Dia Umpama Berlian!” – ‘Hal Hebat’ Duet Govinda & Ernie Zakri Cetus Fenomena

“Dia umpama berlian!”

Demikian pengakuan jujur kumpulan popular Indonesia, Govinda setelah disoal mengenai penyanyi bersuara lantang, Ernie Zakri berhubung kolaborasi pertama mereka menerusi lagu hit Hal Hebat.

Govinda ketika ditemui baru-baru ini menyifatkan Ernie adalah pilihan penyanyi terbaik yang mempunyai bakat luar biasa serta ikhlas dalam menyampaikan sesebuah lagu.

“Pitch Ernie sangat bagus. Tetapi paling penting, dia menyanyi dari hati. Kita dapat rasa keikhlasan dia ketika menyanyi. Itu yang membezakan dia dengan penyanyi lain.

“Ernie umpama berlian. Di mana pun dia berdiri, dia adalah berlian. Saya sendiri mengagumi karakter vokalnya,” kata anggota Govinda, Ade Nurulianto yang juga seorang komposer terkenal.

Sementara itu, Ernie turut meluahkan rasa terbuka sekiranya diberi peluang untuk mencipta lagu bersama Ade yang pernah mencipta lagu Terbaik Bagimu untuk penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Memang saya ada berbincang dengan Ade. Teringin juga dia menghasilkan sebuah lagu yang mampu mencerminkan kematangan saya dalam industri.

“Saya juga sudah berusia 30 tahun, jadi lagu itu harus sesuai,” ujarnya.

Lagu yang menjadi siulan pendengar serta menjadi runut bunyi bagi video percintaan dilaman sosial TikTok dan majlis perkahwinanini juga telah berjaya menduduki tempat pertama beberapa carta utama di radio serta online streaming di Malaysia.

Berkongsi perasaan pertama kali diterbangkan ke Indonesia untuk mempromosikan lagu Hal Hebat, Ernie bersyukur peminat Indonesia menerima kolaborasi ini.

“Alhamdulillah, sambutan yang di luar jangkaan saya, lagu yang diubah melodinya sedikit untuk disesuaikan dengan kehendak permintaan pendengar di Malaysia, telah pun diterima baik di negara seberang sana,” tambahnya lagi.

Lagu Hal Hebat boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Artikel Berkaitan: ‘Cover’ Lagu Sang Dewi, Nyanyian Ernie Zakri Raih Pujian Warganet

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Tampilkan Teknik Vokal Memukau, Siti Nurhaliza Gelar Ernie Zakri ‘Queen’

Artikel Berkaitan: Impian Syamel & Ernie Zakri Tercapai Di Konsert Aku Cinta

Aqilah Paharuzi