Categories: HiburanSelebriti

“Pergi Thailand Berminggu-Minggu Kerja, Tinggalkan I Dengan 3 Anak Terkontang-Kanting” – Nadya Syahera Tertekan Dengan Suami?

Pelakon Nadya Syahera, 29, mendedahkan dirinya tertekan kerana terpaksa mengelola hal rumah tangga bersendirian kerana suaminya, Fizul Nawi terlalu sibuk dengan urusan kerja.

Menerusi perkongsian di ruangan Instagram Stories Nadya pada Rabu, aktres drama bersiri Maaf Jika Aku Tak Sempurna ini mendakwa suaminya, Fizul Nawi seakan tidak mengendahkan apabila dia cuba berkongsi masalah yang dihadapi olehnya.

“Dah la keluar bekerja ke Thailand berminggu-minggu tinggalkan saya dengan tiga orang anak terkontang-kanting. Saya tepu duduk rumah, tak tahu nak cakap macam mana.

“Kalau nak keluar bawa semua anak. Susahnya nak dukung anak sambil menangis. Sebab itu mental saya terganggu. Tetapi saya selalu pujuk hati katakan orang lain lebih susah.

“Saya cuma penat pendam, tiada ruang nak bercakap dan jelaskan dekat dia (suami), Sibuk dengan kerja 24 jam. Kadang-kala kalau saya cakap, masuk telinga kiri keluar kanan. Sedih sebab apa saya cakap dia tidak ambil peduli.

“Saya duduk rumah uruskan anak seorang diri. Kalau dapat luahkan dan dia buat saya senang, boleh juga kurangkan rasa sayu ini. Nak cuba cakap pun takut. Jadi lebih baik diam dan pendam sahaja,” tulisnya.

Lama memendam rasa, Nadya juga mendedahkan anak-anaknya sering menjadi tempat untuk dirinya menyalurkan rasa marah.

“Saya kerja untuk anak-anak dan bila ada duit memang banyak dihabiskan untuk mereka. Tiada cara lain yang buat saya gembira melainkan melihat anak-anak gembira. Kasihan apabila saya stres mereka terkena tempias.

“Aleena dan Mamad kerap kena marah kebelakangan ini sebab saya penat. Anak-anak apabila hendak membesar ada sahaja perkara dilakukan yang buat saya marah.

“Saya memang cepat terasa kalua dia pergi bersenang lenang lepak shisha bagai sedangkan saya bertungkus lumus uruskan tiga orang anak seorang diri,” ujarnya.

Sebelum ini, Nadya dan Fizul pernah mengalami masalah rumah tangga pada 2019 selepas aktres itu mendedahkan kecurangan suaminya.

Berkahwin pada September 2015, rumah tangga Nadya dan Fizul diserikan dengan tiga orang anak iaitu Aleena Rose, 7, Mohamad Dayyan, 6, dan Muhammad Barr Adam, 3 bulan.

Padin