Popular Sekelip Mata Di Indonesia, Nissa Sabyan Masih Terkejut

Vokalis kumpulan Sabyan Gambus, Nissa mengaku terkejut dengan penerimaan luar biasa daripada peminat sejak mula terjun dalam bidang seni pada tahun 2016.

Gadis berusia 19 tahun ini memiliki lebih lapan juta pengikut di Instagram sekaligus memecah tembok populariti anggota kumpulan yang membawakan lagu-lagu Islamik lain.

“ Jujurnya, saya sendiri terkejut dengan sambutan luar biasa sejak beberapa tahun ini. Alhamdulillah atas sokongan yang diberikan oleh peminat baik di Indonesia dan Malaysia.

“ Berawal dengan menyanyi di majlis-majlis perkahwinan, kumpulan Sabyan Gambus mula mendapat tempat di hati peminat dengan lagu-lagu moden Islamik. Kami cuba mendekati pendengar belia dengan gabungan muzik mesra pendengar iaitu muzik Arab dan Pop. Alhamdulillah, hasilnya positif,” katanya dalam sidang media di Al-Rawsha, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Ketika ditanya sama ada penyanyi kelahiran Lumajang, Jawa Timur, Indonesia ini sudah memiliki kekasih hati, gadis manis ini hanya tersenyum dan menjawab ‘Belum, soalnya masih muda kan’.

Memiliki rupa paras menawan, tidak hairanlah Nissa antara selebriti Indonesia yang mencuri perhatian peminat di Indonesia.

“ Masih belum ada pacar. Soalnya perwatakan saya juga sedikit kasar seperti Tomboy. Nanti dulu lah, masih muda,” katanya ringkas.

Sementara itu, anak kelima daripada enam beradik ini mengaku berdebar membuat kemunculan sulung di Kuala Lumpur pada 12 Januari depan.

“ Ini merupakan kali pertama saya membuat di persembahan di luar Indonesia. Sudah tentu saya rasa gementar untuk membuat persembahan di pentas besar yang ditonton oleh ribuan penonton yang bakal hadir,” akhirinya.

Kumpulan Sabyan Gambus yang popular dengan lagu Deen As Salam bakal membuat konsert sulung mereka di Stadium Malawati, Shah Alam pada 12 Januari depan. Jom dapatkan tiket di www.ticket2u.com.my/konsertsabyan2019.

 

SGMS Faida