Categories: Hiburan

PU Abu Beri Bayangan Rumah Tangga Dengan 2 Isteri Bergolak?

Tidak lagi berahsia, pendakwah selebriti Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan memberi bayangan perkahwinan dengan kedua-dua isteri, Ain ‘Afini dan Hana Azraa sudah berakhir.

Menerusi hantaran di Instagram Stories (IG), Abu mengakui Ain ‘Afini, Hana Azraa dan dirinya sudah pun berbincang dan memutuskan untuk membawa haluan masing-masing.

“Ini adalah keputusan kami bertiga setelah cubaan demi cubaan yang dilalui oleh masing-masing,

“Demi kebaikan semua pihak. Tidak ada apa-apa kepentingan, melainkan hanya ingin menyelesaikan kemelut selama hampir 6 tahun ini,” tulisnya.

Kemelut selama hampir enam tahun yang melanda rumah tangga mereka nampaknya tidak mampu diselamatkan melainkan berpisah.

Abu atau nama sebenarnya, Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi mengaku kesalahan dirinya yang gagal memberikan kebahagiaan kepada dua isteri.

Dalam pada itu, Abu juga tidak sanggup melihat penderitaan Ain dan Hana gara-gara konflik rumah tangga yang berlaku.

“Di mana silapnya? Saya silapnya. Sekiranya mereka tidak merasa bahagia, apakah perlu saya membiarkan mereka terus sengsara,” jelasnya lagi.

Malah, Abu turut memohon orang ramai mendoakan agar Ain dan Hana dipertemukan dengan jodoh yang terbaik, setia, sentiasa berdampingan di samping dalam segala keadaan serta mencintai dengan setulus hati.

Untuk rekod, Abu mendirikan rumah tangga dengan Ain ‘Afini pada tahun 2018. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Adam Asyar, Muhammad Aryan ‘Afi dan Siti Khadijah.

Abu dan Hana pula berkahwin pada 2019. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Muhammad Uwais Al-Mateen.

Syamir Shafie