Categories: Hiburan

“Saya Suka Lelaki Sejati, Misteri!” – Wanna Ali Tak Berkenan Jejaka Gemar Upload Gambar Di Media Sosial

Pelakon dan penyanyi cantik, Wanna Ali kurang gemar dengan lelaki yang suka berkongsi foto di laman sosial.

Menurut bintang drama bersiri Bukan Sekadar Lafaz yang sedang hangat bersiaran di slot Samarinda TV3 setiap Isnin hingga Jumaat jam 7 malam ini, dia kurang menggemari lelaki yang suka berkongsi kemas kini serta kehidupan peribadi di media sosial.

“Saya suka lelaki sejati yang misteri. Jika dia kurang kongsi perkembangan di internet, saya suka, sekiranya tak ada akaun media sosial, itu lebih baik. Sejujurnya, saya kurang berkenan dengan lelaki yang suka muat naik gambar di media sosial dan berkongsi perihal peribadi.

“Mungkin kerana saya bekerja dalam bidang seni dan saya sendiri selalu melihat keadaan sebegitu di kalangan selebriti lelaki lain. Saya tak ada masalah dengan mereka tetapi jika bercakap soal lelaki idaman, saya menggemari lelaki yang mempunyai nilai misteri,” kata Wanna yang baru putus cinta.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasang Niat Berhenti Berlakon Selepas Kahwin, Wanna Ali Dedah Tak Jadi Nikah?

Enggan menjalin hubungan dengan lelaki yang berstatus selebriti atau berada dalam bidang seni, anak kepada penerbit terkenal Datuk Ayu Puteh itu selesa mengekalkan hubungan profesional.

“Saya selesa berkawan dengan rakan lelaki bergelar selebriti, namun hanya kawan sahaja. Jika ada artis lelaki yang cuba mendekati saya untuk kenal dengan lebih rapat, sebolehnya saya akan mengelak.

“Sejujurnya, saya kurang berminat untuk menjalin hubungan dengan rakan artis. Saya lebih selesa jika hubungan kami sekadar rakan sekerja dan berlangsung dengan profesional atas dasar tugas,” kata pelantun lagu Lepaskan ini.

Wanna ditemui pada majlis pelancaran produk Fresh + Glow Intensive Hydrating Serum Millefleur di Damansara, baru-baru ini.

Dilantik sebagai duta, Wanna dia terlebih dahulu mencuba produk terbabit sehingga diyakini berkesan sebelum memberi kata persetujuan.

“Kulit saya sangat sensitif, jadi saya memang berjaga-jaga. Sebelum ini banyak produk yang menawarkan saya untuk menjadi duta, tapi saya enggan tamak kerana saya sendiri tak terbuka hati untuk menerima tawaran itu.

“Sebelum menjadi duta, mereka memberi saya produk untuk dicuba. Bahan semulajadi yang digunakan iaitu lidah buaya membuatkan saya terbuka hati mahu mencuba memandangkan ia merupakan bahan semulajadi yang baik untuk kulit.

“Syukur, selepas beberapa bulan, kulit saya menunjukkan perubahan baik, saat itu barulah saya bersetuju untuk menjadi duta. Produk ini sangat bagus kerana terdapat kebaikan 3 dalam 1,” katanya.

Padin