Puas! Peminat Tak Kisah Menanti Demi Tonton Persembahan ‘Terakhir’ Di KL, Konsert Noah Menemaniku Full House

Konsert Noah Menemaniku Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada Sabtu ternyata memberikan impak luar biasa khas buat peminat setianya di Malaysia.

Dibanjiri lebih 6,000 penonton, sudah pasti peminat Noah tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan apakah agaknya karya dan persembahan ‘terakhir’ bakal dibawakan mereka sebelum mengambil masa untuk berehat panjang.

“Bila kali terakhir membuat persembahan di sini, ramai cakap tempat itu kecil.

“Jadi untuk kali ini kami minta untuk yang lebih besar. Tapi melihat anda semua disini ternyata tempat ini juga masih kecil,” katanya.

Walaupun memulakan konsert pada jam 8.50 malam, namun peminat seolah-olah terpukau dengan persembahan Ariel atau nama penuhnya Nazil Irham, 42, apabila dia tampil bertenaga dengan tiga buah lagu popular sebagai pembukaan konsert iaitu, Topeng, Separuh Aku dan Diatas Normal.

 

Konsert yang berlangsung selama dua jam lebih itu memperlihatkan Ariel secara non-stop menghiburkan peminat dengan 24 buah lagu termasuk lagu hit kumpulan itu berjudul, Tak Bisakah, Mungkin Nanti dan Ada Apa Denganmu.

Malah, kemunculan penyanyi rap popular negara, Joe Flizzow berduet bersama Ariel menerusi lagu Suara Dalam Kepala membuatkan dewan bergema dengan sorakan peminat.

 

Terdahulu, kumpulan ini mengumumkan mahu berehat panjang, iaitu mengikut tempoh yang belum ditentukan.

Bagaimanapun, Ariel  tidak menjelaskan butiran terperinci mengenai keputusan tersebut.

Salma Syahbuddin