Rapper Muda Berbakat Besar, Chronicalz & DC Willie Muncul Dengan Now Cemane?

Penyanyi rap muda berbakat,  ChronicalZ kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan buah tangan terbaharunya berjudul ‘Now Cemane?’ Ia adalah hasil nukilan sendiri bersama komposer, DC Willie dan diterbitkan oleh Warner Music Malaysia.

“Siapa sangka, budak Desa Pandan yang dahulunya suka berimaginasi kini mampu berdiri bangga sebaris dengan penyanyi-penyanyi rap mainstream yang ada di Malaysia.

“Namun kejayaan yang saya kecapi sekarang tidak mungkin terjadi tanpa sokongan keluarga, teman rapat dan CDN Squad yang padu selama ini,” katanya.

Mungkin ramai yang tidak tahu, ChronicalZ telah mula bertapak di kalangan komuniti hip hop tempatan pada tahun 2015, ketika usianya masih lagi 15 tahun.

“Saya ingin meraikan kejayaan yang saya peroleh pada hari ini dengan single yang saya tulis sendiri, manakala melodinya pula dicipta oleh sahabat saya, juga seorang rapper dan komposer, DC Willie.

“Now Cemane? Menceritakan tentang pengorbanan kami dalam mengejar cita-cita dan impian sehingga berjaya berada pada tahap ini, dan paling membanggakan adalah apabila karya kami mendapat perhatian ramai dengan pulangan yang berbaloi,” kongsinya.

 

Muzik rap yang dibawakan oleh ChronicalZ dan DC Willie ini ternyata berbeza melalui elemen trap yang ditonjolkan.

Malah, keduanya juga turut berdepan cabaran terutamanya dalam memperkenalkan muzik rap baharu kepada pendengar Malaysia.

“Sebagai seorang anak seni, cabaran utama saya adalah bagaimana hendak memperkenalkan muzik rap baharu kepada pendengar Malaysia, tiada yang mustahil jika kita percaya dan yakin dengan setiap karya yang kita hasilkan.

“Saya berharap agar penggemar muzik hip hop tempatan dapat enjoy apabila mendengar single Now Cemane?, hasil kami berdua ini dan dapat menerima bunyi trap yang kami bawakan, percayalah anda akan sukakannya!” jelasnya.

Jadi, bagi penggemar muzik hip hop lagu Now Cemane? kini boleh dimuat turun di iTunes dan boleh didengar melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Salma Syahbuddin