Reen Rahim Tangguh Hasrat Timang Cahaya Mata Demi Kerjaya

Pelakon Reen Rahim mengakui dirinya terpaksa menangguhkan hasrat untuk menimang cahaya mata kerana terikat dengan kontrak sebelum mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Hazim Zainal.

Akur dengan keputusannya itu, Reen turut bersyukur suami dan keluarganya memahami pengorbanan yang terpaksa dilakukan.

Malah, pelakon itu turut percaya Allah akan mengurniakan rezeki cahaya mata pada masa yang tepat.

“Saya sudah menandatangani kontrak bersama Toyota Gazoo Racing, jadi saya tidak boleh mengandung selama setahun ini.

“Habis kontrak saya berserah pada rezeki apa yang Allah nak bagi. Saya percaya setiap pengorbanan akan digantikan dengan kebahagiaan, jadi saya fikir positif dan anggap ia adalah tempoh saya untuk berbulan madu dengan suami.

“Alhamdulillah, suami dan keluarga memahami, apa-apapun yang kita lalui tiada yang kebetulan, semuanya sudah tertulis. Walaupun rasa pengorbanan menyakitkan, tetapi saya percaya Allah sudah mengatur yang terbaik,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Reen juga tidak terlalu tertekan memikirkan soal cahaya mata kerana optimis semuanya diatur dengan baik.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain