Rugi RM2.6 Juta, Floor 88 Buat Laporan Polis

Kumpulan Floor 88 telah membuat laporan polis ekoran isu penyebaran sebuah telemovie milik mereka secara haram di akaun Youtube.

Memetik laporan Harian Metro, salah seorang ahli kumpulan tersebut, Eric Fuzi berkata bahawa mereka terpaksa mengambil tindakan kerana pihak produksi telemovie tersebut mengalami kerugian.

“Anggaran kerugian adalah sekitar RM2.6 juta susulan penayangan telemovie itu di platform berkenaan secara percuma.

“Hari ini kami membuat laporan polis untuk pihak berkuasa dan agensi berkaitan mengambil tindakan kepada pemilik akaun terbabit yang dipercayai menggunakan nama Jari Hantu,” katanya.

Menurutnya lagi, penyebaran telemovie tersebut bukan sahaja melibatkan satu akaun Youtube sahaja malah terdapat juga akaun lain di platform lain iaitu Telegram.

Isu ini juga telah diadukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan selanjutnya.

Telemovie tersebut telah ditayangkan pada 21 April yang lalu di sebuah saluran televisyen dan dibintangi oleh Hawa Rizwana,Syasya Dolla, Amir Masdi, Datuk Syafinaz Selamat dan ramai lagi.

Izzi Farhana