Categories: HiburanSelebriti

Saham Adam Shahz Makin Meningkat, Akui Belum Sedia Tamatkan Zaman Duda

Pelakon Adam Shahz mengakui ramai wanita yang cuba memikat hatinya menerusi Direct Message (DM) di Instagram, sejak kebelakangan ini.

Adam yang sudah lima tahun menduda bagaimana pun menyatakan dirinya memilih untuk menghiraukan perkara itu kerana belum bersedia mengakhiri zaman solonya.

“Sejak kebelakangan ini, saya kerap menerima DM daripada ramai wanita yang tidak dikenali menerusi Instagram. Ada yang ajak berkahwin kerana bertemu dalam mimpi dan ada juga yang tampil berkongsi kisah hidup mereka yang dianggap sama dengan apa yang saya lalui.

“Tapi saya tak melayan kerana bimbang dengan macam-macam perkara seperti fake account dan sebagainya. Saya juga anggap mereka itu hanya sekadar peminat sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Adam juga mendedahkan dirinya kini sedang berkawan dengan seseorang namun lebih selesa untuk merahsiakan identiti wanita tersebut.

Tambah bekas suami aktres Fatin Afeefa itu, dia juga belum terfikir untuk ke fasa yang lebih serius kerana masih belum puas berbakti kepada ibunya.

“Saya tidak menafikan yang kini saya ada berkawan dengan seseorang. Dia bukanlah seorang selebriti dan hanya orang biasa. Tapi buat masa kini saya belum sedia untuk ke fasa yang lebih serius kerana fokus utama saya adalah ibu saya.

“Saya masih ada seorang ibu yang perlu dijaga. Jika sebelum ini saya sibuk bekerja dan uruskan macam-macam perkara, saya ingin menggunakan peluang ini untuk menjaganya,” jelasnya.

Sementara itu, Adam juga sempat berkongsi tentang penglibatannya menerusi Teater Bangsawan Dang Anum sebagai Beja Ali arahan Amirul Heswandy.

Menurut Adam, dia sangat teruja untuk terlibat dalam pementasan teater ini kerana diberikan peranan yang sangat besar dan pertama kali terlibat dalam teater bangsawan.

“Sebelum ini saya hanya menjadi cameo dalam teater yang pernah saya terlibat sebelum ini. Kali ini saya diberikan peranan yang agak besar dan pertama kali saya terlibat teater ni teater bangsawan.

“Saya tak pernah lagi berbangsawan. Insya-Allah dengan bantuan rakan-rakan dan tunjuk ajar mereka saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.

Teater Bangsawan Dang Anum bakal dipentaskan pada 14 dan 15 Oktober ini bertempat di Auditorium Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Bukit Kiara, Kuala lumpur.

 

Fatin Nurain