Sambut Perayaan Nyepi, Rizky Febian Didakwa Murtad? Ini Jawapan Balas Mahalini – “Fitnah Itu Lebih Kejam Daripada Pembunuhan”

Penyanyi popular Indonesia, Rizky Febian menerima respons negatif dalam kalangan peminat selepas berkongsi momen bersama tunangnya yang juga penyanyi popular, Mahalini serta ahli keluarganya ketika sambutan perayaan Nyepi yang berlangsung di Bali pada Isnin.

Menerusi perkongsian di Instagram, Rizky atau lebih mesra dengan panggilan Iky sempat memuat naik beberapa potongan video yang memperlihatkan dirinya sedang mengangkat patung Ogoh-Ogoh dalam upacara sambutan Nyepi yang diraikan oleh penganut Hindu di negeri terbabit.

Bagaimanapun, tindakan Iky tidak disenangi segelintir warganet apabila perayaan itu disambut tatkala umat Islam meraikan kedatangan bulan ramadan.

Bahkan, terdapat peminat mendakwa pelantun lagu Kesempurnaan Cinta itu telahpun murtad apabila bertindak merayakan sambutan tersebut.

“Akhirnya merasa pengerupukan dan nyepi di Bali.  Makasih honeyy @mahaliniraharja,” katanya.

 

Dalam pada itu,  hantaran tersebut menerima pelbagai respons dalam kalangan warganet sehingga penyanyi itu bertindak menutup ruangan komennya.

Tidak berdiam diri dengan tuduhan yang diberikan warganet terhadap tunangnya, Mahalini menerusi laporan InsertLive menyifatkan kata-kata negatif tersebut sebagai fitnah, malah lebih kejam daripada melakukan pembunuhan.

Sekadar info, Rizky Febian dan Mahalini Raharja telahpun mengikat tali pertunangan pada 8 May 2023 dan kedua-duanya masih menganut fahaman agama yang berbeza.

 

Sumber: InsertLive

Salma Syahbuddin