Nampaknya watak Syafiq Kyle yang membawakan karakter ustaz dalam drama popular, Nur membuatkan ramai menganggap watak itu adalah karakter sebenarnya.

Pelakon popular itu memohon agar peminat di luar sana tidak terbawa-bawa dengan karakter ustaz yang dilakonkannya itu.

“ Sebagai pelakon, sudah menjadi tanggungjawab saya membawa watak Ustaz Adam dengan baik sesuai dengan kehendak pengarah dan penulis skrip.

“Memang saya sudah jangka, mesti ada yang mahukan saya kekal membawa watak begitu atau menyangka karakter peribadi saya juga sama,” katanya.

Menurut Syafiq, ini bukan kali pertama dia diberikan watak budak baik.

“ Sama seperti watak dalam drama Tanah Kubur. Peminat harus faham, saya bukanlah tahap seorang ustaz dan penonton pula kenalah bijak dan faham itu hanyalah lakonan semata-mata.

“Sebagai pelakon saya cuba buat yang terbaik dengan mengkaji karakter dibawa,” katanya.

Melalui drama arahan Shahrul Ezad Mohameddin, Syafiq membawa watak ustaz yang jatuh cinta dengan pelacur lakonan hebat, Amyra Rosli.

Syafiq juga memaklumkan sepanjang Ramadan ini dia tidak mengambil sebarang tawaran berlakon kerana mahu memberi tumpuan kepada aktiviti menambah pahala.

SGMS Faida