“Saya Cuba Beri Kesedaran, Mereka Patut Ucap Terima Kasih” -Ryzal Ibrahim Kekal Pendirian, Enggan Mohon Maaf Isu Hina B40

Pempengaruh media sosial popular, Ryzal Ibrahim bertegas enggan memohon maaf terhadap isu menghina golongan B40 seperti yang tular baru-baru ini.

Menurutnya, tujuan video tersebut dimuat naik di Instagram adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang realiti kehidupan pada hari ini.

Malah, sebagai seorang pempengaruh media sosial dia tidak menyangka kandungan video pendek yang dimuat naik itu disalah anggap oleh segelintir pihak.

“Sebenarnya itu realiti yang berlaku dalam kehidupan kita sekarang ini. Saya tengok content saya itu bukan hinaan.

“Sepatutnya video itu memberi kesedaran kepada mereka.Tapi mungkin mereka terasa dan sebenarnya di hujung bulan mereka yang susah. Jadi , mereka meminta-minta kepada ramai orang macam artis dan golongan T20. Kalau kita tengok apa mereka nak bayar adalah bayar Iphone tertunggak, bayar Coway dan macam-macam lagi… tapi kalau tahu tak ada duit kenapa masih nak buat pinjaman dan berbelanja?

“Video tersebut secara tak langsung sebenarnya memberi didikan cuma golongan ini mungkin sensitif dengan sindiran dan mungkin juga mereka tak dapat beza antara sindiran dan hinaan. Bila kita memberi didikan atau kesedaran patutnya berterima kasih lah,” katannya kepada XTRA.

 

Justeru, yakin berada dipihak yang benar, pemilik nama lengkap Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim enggan memohon maaf terhadap isu tersebut sekaligus menjelaskan dia tidak terkesan dengan kecaman yang diberikan terhadapnya.

Malah, dia mengaku ramai pengikutnya memberi sokongan terhadap hantaran videonya itu.

“Kalau dulu masa saya awal-awal di Malaysia mungkin saya ambil peduli tapi sekrang saya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Saya tak rasa benda tu memberi kesan kepada saya. Saya hanya senyum sebab saya faham golongan macam ni mungkin tak nampak benda ni secara keseluruhan dan memahami isi tersirat disebalik maksud video tersebut.

“Tapi ada juga yang mesej saya memohon maaf selepas melihat mesej daripada video tersebut. Jadi saya tidak akan minta maaf kerana saya rasa saya tidak salah,” jelasnya.

Ryzal menegaskan itu adalah realiti kehidupan pada masa sekarang jadi tiada sebab dia mahu tampil memohon maaf.

Dalam pada itu, Ryzal juga mengaku tidak takut sekiranya dia kehilangan pengikutnya disebabkan dakwaan kononnya dia menghina B40 dek kerana percaya rezeki itu terlatak di tangan Tuhan.

“Saya tidak takut jika kehilangan pengikut kerana rezeki itu datang dari Allah dan saya tidak pernah takut andai pengikut saya lari kerana yang menentukan semua ini bukan mereka, kita naik macam mana sekali pun, Allah yang tentukan,” ujarnya.

Terdahulu, isu ini menjadi perdebatan hangat dalam kalangan netizen apabila menganggap kandungan video tersebut seolah-olah menghina golongan berpendapatan rendah atau B40.

ARTIKEL BERKAITAN:Dikritik Hina B40, Ryzal Ibrahim Takkan Mohon Maaf! Minta Netizen Sedar Diri – “Ramai B40 Nganjing T20, Ok Je..”

Sekadar info, Ryzal dan isterinya, Maryam Younarae antara yang tercalon dalam kategori Content Creator Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH 35) kali ini.

ABPBH edisi ke-35 mengangkat tema Ekspresi Legasi Seni dengan membariskan dua belas (12) Kategori Utama iaitu BBNU Lelaki Popular, BBNU Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular, Aktor Filem Popular, Aktres Filem Popular, Aktor TV Popular, Aktres TV Popular, Penyampai Radio Popular, Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular.

Manakala,  turut dipertandingkan adalah tujuh (7) Kategori Ekstra! iaitu Couple Drama Popular, Couple Filem Popular, Drama Popular, Lagu Paling Boom, Content Creator Popular, TikTokers Popular dan Video Viral Popular.

Peminat boleh membuat undian artis kegemaran masing-masing menerusi laman rasmi ABPBH di www. abpbh.com.my bermula 12 Mei sehingga 11 Jun 2023.

Salma Syahbuddin