“Saya Profesional Tapi…” – Hormat Suami, Bella Dally Enggan Berlakon Dengan Nazim Othman

Pelakon dan model jelita, Bella Dally mengakui bahawa dia tidak akan berlakon bersama bekas suaminya iaitu Nazim Othman.

Dia berbuat sedemikian kerana mahu menghormati suaminya, Ariff Izuddin Mohd Radzali.

Memetik laporan Gempak, Bella menyatakan bahawa dia kini hidup bahagia bersama Ariff yang banyak memberi sokongan dalam karier seninya mahupun peribadi sejak mendirikan rumah tangga bersama pada 2019.

“Saya seorang yang profesional. Tapi saya memilih untuk menghormati suami. Maka saya tidak akan berlakon sama dengan Nazim,” kongsinya.

Bella yang kini dilihat aktif menjadi pereka konten di media sosial dan perlahan dalam dunia lakonan namun minat dalam dunia lakonan tidak pernah padam.

“Saya masih berlakon walaupun sekarang memang agak perlahan. Iika boleh saya mahu terbabit dengan naskhah yang bersifat memperkasakan wanita berbanding menjadi wanita teraniaya.

“Saya rasa buat masa ini agak seronok menjadi pereka konten kerana ia tidak memakan masa yang lama seperti berlakon. Jadi saya punya lebih banyak masa yang boleh dihabiskan bersama keluarga atau suami,” jelas Bella.

Sekadar info, Bella pernah mendirikan rumah tangga bersama Nazim Othman pada September 2016.

Walaubagaimanapun, ikatan perkahwinan mereka terlerai apabila mengesahkan telah bercerai pada Mei 2018.

Sumber: Gempak

Atiqah Johari