Categories: SelebritiTrending

Dijaga Rapi Oleh Anak, Mat Sentol Dalam Keadaan Uzur – “Saya Kena Pastikan Makanan Hariannya Berkhasiat”

Kesihatan pelawak veteran, Mat Sentol, 90, dilaporkan dalam keadaan yang okay namun merosot sejak beberapa hari lalu atas faktor cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini.

Memetik laporan Harian Metro, Mat Sentol atau Abd Rashid Yahaya kini dalam keadaan terbaring tetap masih mempunyai tenaga kerana masih mempunyai selera makan selain dijaga baik dan teliti oleh anak lelakinya, Roslee Rashid, 61, dari segi pemakanan.

Kata Roslee, pemakanan harian Mat Sentol amat dititik beratkan dan akan memastikan dia memakan makanan yang berkhasiat yang dapat memberi tenaga dan menolak makanan yang berminyak.

“Bapa saya sekarang sangat berumur dan uzur. Jadi, saya kena pastikan pemakanan hariannya berkhasiat agar dia ada tenaga menggerakkan badan walaupun terbaring. Alhamdulillah, setakat ini kesihatannya okay.

“Cuma, faktor cuaca tidak menentu akibat hujan setiap hari ketika ini, bapa ada kurang sihat sedikit. Tapi, dia masih mahu makan dan saya masakan hidangan sesuai mengikut saranan pakar pemakanan.

“Saya pastikan bapa makan sayur-sayuran, ikan, roti tanpa yis, sup tulang yang diambil sup saja campur nasi, kemudian kisar hingga lumat. Semua makanan bapa kena kisar dulu untuk mudah dimakan.

“Setakat ini, selera makan bapa saya sangat bagus terutama suka makan pisang dikisar. Saya juga pastikan bawa bapa keluar bersiar-siar kerana dia suka jalan-jalan dan tak mahu berkurung di rumah saja,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Roslee turut memaklumkan menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 dan menerima bantuan daripada Baitulmal untuk barang keperluan harian seperti susu formula, vitamin, lampin pakai buang dan lain-lain.

“Setakat ini, bantuan yang diterima bapa saya daripada JKM dan Baitulmal sangat membantu kami. Malah, kalau ada kurang pun (kewangan) saya sendiri akan usaha cari untuk tambahan kerana rezeki Allah sangat luas.

“Walaupun keadaan saya ini boleh dikatakan ‘warga emas jaga warga emas’, saya okay dan rasa masih kuat lagi demi bapa saya. Sebagai anak, saya akan usaha memberi keselesaan kepadanya.

“Jadi, soal bantuan sebenarnya saya tidak mahu meminta-minta. Kalau ada pihak nak beri sumbangan untuk bapa, saya terima, jika tiada, tidak mengapa sebab faham situasi ekonomi sekarang.

“Tapi, setakat ini bantuan bapa saya terima daripada kerajaan, manakala menerusi persatuan seni rasanya belum ada lagi, termasuk pencen daripada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), bapa saya bukan penerima,” kongsinya kepada Harian Metro.

Mat Sentol merupakan seorang pelawak dan pelakon sejak era 1950-an serta popular menerusi beberapa filem seperti Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari