Categories: SelebritiTrending

Isu Artis Veteran Pukul Abang Ipar, Pengurus Sahkan Shidee Direman Polis… Kes Masih Dalam Siasatan

Sebelum ini, media melaporkan berita mengenai seorang artis veteran ditahan oleh pihak polis kerana didakwa memukul abang iparnya dengan batang besi hingga cedera.

Susulan itu, memetik laporan Harian Metro, pengurus peribadi penyanyi popular era 80-an, Shidee iaitu Efeendy R Azmi mengesahkan bahawa penyanyi itu adalah individu yang dimaksudkan dan direman oleh polis selama empat hari.

Shidee ditahan di sebuah flat perumahan di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada Ahad.

“Ya, Shidee adalah individu yang ditahan polis semalam,” kata Efeendy.

Namun begitu, Efeendy enggan memberi sebarang kenyataan berkaitan penahanan Shidee kerana isu tersebut masih dalam siasatan polis.

“Saya mohon maaf. Sekarang ini saya berada di Thailand untuk urusan kerja. Namun, saya sudah berhubung dengan keluarga Shidee bagi mengetahui insiden yang berlaku.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh berkongsi sebarang maklumat mengenai kejadian itu kerana masih dalam proses siasatan polis,” ujarnya ketika dihubungi Harian Metro.

Sehubungan itu, Efeendy turut memohon orang ramai untuk tidak membuat sebarang andaian mengenai penangkapan pelantun lagu Sayang Semuanya Sudah Terlambat itu.

“Saya mohon orang luar tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Biarlah pihak berkuasa melengkapkan siasatan berhubung kes ini terlebih dahulu,” katanya lagi.

Berdasarkan kenyataan sebelum ini, penyanyi dan komposer itu didakwa memukul abang iparnya selepas berlaku salah faham.

Insiden tersebut berlaku di rumah ibu mentuanya dan difahamkan bahawa mereka sudah mempunyai perselisihan faham keluarga beberapa kali sebelum ini namun kali ini lebih teruk.

Artikel Berkaitan: Artis Veteran Pukul Abang Ipar Guna Batang Besi Direman 4 Hari

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari