Selepas Jasmin Hamid, Kakak Ipar Tok Ti Pula Yang Bersuara!

Pengurus penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak mahu lebih tegas kepada netizen yang sengaja memfitnah atau menghina penyanyi itu pada masa depan.

Ia susulan tindakan pelakon Jasmin Hamid yang mengambil tindakan undang-undang ke atas netizen kerana menghina anak perempuannya sebagai bapuk sebelum ini.

Baca: Jasmin Hamid Saman Warganet Yang Hina Anaknya

Dalam status dimuat naik di IG Story kakak ipar penyanyi itu, dia menyokong keputusan Jasmin Hamid sebagai satu pengajaran yang terbaik untuk netizen.

“Betul, semakin negara maju, semakin ke belakang sikap pengguna media sosial. Saya kira jika adik dan artis saya (Siti) melakukan apa yang dibuat oleh Jasmin serta beberapa selebriti lain, itu juga akan menjadi pengajaran.

“Selama ini, Siti mengambil sikap berdiam diri dan menutup mata tetapi semakin hari mereka semakin berani memfitnah, mencerca dan menghina tetapi rata-rata tidak menggunakan nama atau gambar sebenar dan berselindung di sebalik akaun palsu.

“Selepas ini kami akan lebih tegas,” tulisnya.

Dalam status sama, Rozi turut memuat naik keratan artikel berkenaan tindakan yang dibuat Jasmin Hamid.

Terdahulu, Jasmin tampil mengemukakan tuntutan saman fitnah ke atas tiga individu pada 2 Mei lalu.

Seorang wanita, Izzatul Hairiyah Abdullah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesalahan yang telah dilakukan.

Selain wanita itu, dua lagi netizen yang telah dikenal pasti bakal berdepan dengan tindakan undang-undang tidak lama lagi kerana belum membuat permohonan maaf secara terbuka seperti dituntut Jasmin sebelum ini.

Oleh: Azalea Danea

Del14