Senyum Lebar Buku Laris Terjual 3000 Naskhah

Baharu sahaja menjengah pasaran, pelakon Rita Rudaini boleh tersenyum lebar apabila buku tulisannya berjudul Kerana Aku Seorang Perempuan laris terjual.

Sebanyak 3,000 naskhah telah habis dijual pada tiga hari pertama ia dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (PBAKL 2018).

Buku itu ‘membongkarkan’ secara lebih mendalam tentang perkahwinan rahsianya di Thailand bersama bekas suami, pemain bola sepak kebangsaan Aidil Zafuan Abd Razak.

Menurut Rita, kisah biografi itu dihasilkan kerana ingin menepis kata-kata negatif orang ramai yang sebelum ini sering kali mengkritiknya tanpa mengetahui hal sebenar tentang dirinya.

“Alhamdulillah, ramai tidak tahu sejarah dan liku hidup insan bernama Rita Rudaini kerana tidak dikongsi kepada umum. Tidak terlintas untuk saya membuka aib mana-mana pihak.

“Buku ini dihasilkan kerana saya ingin membuat luahan dan menepis kata-kata negatif yang memanipulasi kisah hidup saya… Bagaikan mereka lebih tahu berbanding saya,” katanya

Susulan sambutan luar biasa yang diterima, buku itu kini sedang dalam proses cetakan kedua untuk memenuhi permintaan peminat setia pelakon kelahiran Perlis itu.

Rita dan Aidil berkahwin secara diam-diam di Thailand pada 2008 sebelum disahkan bercerai pada 5 September 2013.

Hasil perkahwinan, mereka mempunyai dua cahaya mata lelaki, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, yang kini di bawah jagaan sepenuhnya oleh Rita.

SGMS Enal