Categories: HiburanTrending

Sering Dikecam Tak Layak Jadi Juri… Ini Respons Mas Idayu – “Saya Tak Cakap Saya Bagus, Tapi..”

Ekoran kelayakan menjadi juri dalam pelbagai pertandingan nyanyian serta rancangan realiti televisyen sering dipertikai, penyanyi Mas Idayu tampil memberi penjelasan terhadap dakwaan netizen.

Mas Idayu atau lebih mesra disapa Mummy mengaku dia sudah mempunyai pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam industri seni dan sememangnya layak untuk duduk di kerusi juri bagi menilai peserta-peserta.

“Saya kongsi pengalaman yang saya pernah lalui, mereka pula belum pernah lalui. Lagi pula, saya kongsi pengalaman yang bagus, bukan pengalaman yang buruk.

“Dah 30 tahun lebih dah dalam industri, macam-macam perangai ada. Dari situ saya belajar dan sekarang tanggungjawab saya pula untuk ajar orang lain,” katanya kepada XTRA.

Mummy ditemui usai minggu separuh akhir Famili Duo 3, malam tadi.

Mummy yang terkenal dengan lagu-lagu dangdut malar segar seperti Cintaku 100% dan Senggol-Senggolan, Cubit-Cubitan itu mendedahkan dirinya telah melakukan pelbagai bentuk persembahan sepanjang bergelar artis.

“Saya tak cakap saya bagus tapi sebenarnya pengalaman saya menarik. Daripada susah nak bina nama, tak dikenali ramai sehinggalah sekarang ini. Saya dah sertai pelbagai pertandingan nyanyian dan program realiti televisyen.

“Saya dah jayakan macam-macam bentuk persembahan. Bagi saya, persembahan di Famili Duo ini kebanyakannya dah ‘basi’. Itulah pengalaman. Suruh netizen tanya stesen TV kenapa mereka pilih Mummy jadi juri? Sebab saya layak,” jelasnya lagi.

Tiga pasangan layak ke peringkat finale Famili Duo 3 iaitu Adira dan Emma Suhaimi, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran dan Syaiful dan Sharif Zero.

Jangan lupa saksikan konsert akhir Famili Duo 3 yang bakal bersiaran Ahad ini, 3 Disember 2023 jam 9 malam di TV3 dan strim secara HD di Tonton.

Syamir Shafie