Siti Nurhaliza Ubat Rindu Peminat Indonesia, Penampilan Memukau Jadi Tumpuan – “Segalanya Cantik…”

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa teruja apabila dapat menjejakkan kaki kembali ke Indonesia, baru-baru ini.

Siti diundang bagi membuat persembahan bersama finalis konsert akhir D’Academy 5 pada Isnin yang bersiaran langsung di stesen TV Indosiar.

“Kesempatan saya kembali membuat persembahan di Indosiar khususnya D Academy 5 sangat membahagiakan apabila saya dapat bertemu dengan bintang-bintang muda DA5 yang sangat berbakat dan juga peminat dan penonton di Indonesia.

“Alhamdulillah, dapat bersama-sama finalis Sridevi dan Eby serta berduet dengan Firdan adalah pengubat rindu saya kepada para peminat di Indonesia.

“Terima kasih Indosiar, terima kasih kepada semua yang menonton dan semoga ada rezeki saya dapat kembali ke negara ini,” harap Siti.

Ternyata dengan kemunculan Siti Nurhaliza ibarat penyeri kepada rancangan nyanyian muzik dangdut popular Indonesia itu malah mengubati kerinduan peminat Indonesia.

Tampil memukau dengan beberapa persalinan, pelantun lagu Nian Di Hati itu kelihatan sangat anggun apabila berada di pentas.

Penampilan Siti itu juga mendapat perhatian di kalangan peminat apabila rata-ratanya memuji kecantikan penyanyi nombor satu negara.

Untuk info, kemunculan terakhir Siti Nurhaliza di Indonesia adalah ketika Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, pada Februari 2019.

Khairil Khusyairi