Sudah Bermastautin Di Perlis, Nurul Shuhada Berhasrat Sambung Belajar Ke Luar Negara – “Kalau Lulus, Saya Akan Bawa Anak-Anak…”

Isteri Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran ke luar negara sekiranya permohonan biasiswa mendapat kelulusan.

Memetik laporan Harian Metro, Shuhada enggan menjadikan keadaan sedang hamil dan anak-anak sebagai penghalang untuk mengejar cita-cita.

“Mungkin dulu saya mengikut perintah suami, namun kini tiba masanya saya ingin mengejar cita-cita yang sudah lama tertangguh.

“Malah, sekiranya permohonan untuk mendapatkan biasiswa lulus, saya akan bawa anak-anak bersama.

“Rakan-rakan yang mengenali saya dulu pasti ingat bagaimana saya sedang hamil membawa perut ke kelas. Jadi, jika saya meletakkan hasrat untuk membuat sesuatu, pastinya saya tekad.

“Saya pasti semua yang terjadi ada hikmahnya, namun sekiranya saya diberikan peluang untuk menyambung pelajaran, pastinya saya tidak mensia-siakan peluang itu.

“Andai kata ada yang ingin menaja, saya terima dengan tangan terbuka,” katanya.

Berkongsi tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Shuhada bersyukur dapat meraikan bersama keluarga dan adik beradiknya di Perlis.

“Alhamdulillah, tangan yang dihulur lebih banyak pada tahun ini memandangkan saya sudah bermastautin di Perlis bersama mak dan ayah di kampung.

“Adik-beradik pun ada jadi rasa lebih selamat. Malah, Humairah dan Umar juga mendapat baju raya serta kasut lebih lagi. Semestinya mereka lebih teruja dapat hadiah daripada orang sekeliling,” ujarnya.

Terdahulu, Shuhada berdepan konflik rumah tangga dengan Hafidz mendakwa suaminya melafazkan cerai melalui WhatsApp dan panggilan telefon pada 22 Januari dan 22 Februari lalu.

Untuk rekod, Shuhada dan Hafidz mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah dan Umar.

Maya Basir