Syamsul Yusof Kunci Mulut, Tak Mahu Ulas Sebab Enggan Cerai Puteri Sarah.. Hanya Tunjuk Tanda Jari ‘Peace’ & ‘Allah Yang Satu’

Pengarah Syamsul Yusof mengunci mulut dan tidak memberikan sebarang kenyataan mengenai keputusannya yang enggan menceraikan isteri pertamanya, pelakon Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, pagi tadi.

Selepas tamatnya prosiding, Syamsul yang dinantikan pihak media di luar mahkamah terus diajukan persoalan namun pengarah KL Gangster itu terus meluru keluar menuju ke lif bersama peguamnya, Roshdan Sujak Rafie.

Syamsul hanya menggelengkan kepala apabila ditanya sebab tidak menceraikan isterinya dan dakwaan memukul Sarah, malah, ketika beredar, pelakon filem Munafik itu hanya menunjukkan isyarat tangan jari ‘peace’ dan ‘Allah Yang Satu’.

Sementara itu, Roshdan ketika berhujah di mahkamah berkata, setakat ini pengarah itu tidak mahu menceraikan Sarah kerana menyifatkan masih ada sinar untuk memperbaiki hubungan perkahwinan mereka

“Masih ada sinar untuk pasangan ini… pihak kami tidak setuju pelantikan hakam untuk kes perceraian ini,” katanya.

Terdahulu Sarah dan Syamsul diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Sebelum ini pada 16 Januari lalu Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Terdahulu Sarah nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua pada awal tahun ini.

Untuk rekod Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam dan Summayah.

Padin