“Tak Ada Semangat Nak Buat Apa-Apa” – Wany Hasrita Alami Fasa Duduk Dalam ‘Gua’ Gara-Gara…

Penyanyi Wany Hasrita mendedahkan pernah melalui fasa tiada semangat untuk melakukan sebarang aktiviti sehingga bertambah berat badan mencecah 59 kilogram (kg).

Menurut Wany yang bakal bersaing di Anugerah Juara Lagu 38 menerusi lagu Kucuma, dia hanya duduk di rumah menonton televisyen dan ketagih makan coklat pada ketika itu.

“Seperti yang saya kongsi di TikTok baru-baru ni, saya kini dalam fasa untuk keluar dari ‘gua’.

“Masa fasa terendah itu, saya tak ada semangat nak buat apa-apa pun. Hanya duduk di rumah makan coklat hari-hari sambil tengok Netflix saja,” katanya semasa ditemui di Meet & Greet Paling Ikonik Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang diadakan di Pasar Seni, pada Ahad.

Kata Wany, pengambilan gula berlebihan mungkin menjadi punca dirinya bermalasan seperti itu.

“Seminggu saja tak buat aktiviti berat badan saya juga naik mencecah 59 kg. Bila berat badan naik, kita jadi malas nak bergerak, kulit pun jadi kusam,” ujarnya.

Namun, pelantun lagu Menahan Rindu ini tidak mahu membiarkan dirinya terus berada di fasa terendah dan mula merancang aktiviti untuk menjalani gaya hidup sihat.

“Ibu yang selalu nasihatkan untuk saya kembali bangkit dengan semangat baharu. Saya kembali masuk kelas mengaji al-Quran dan bawa anak ke kelas renang.

“Selepas itu, menghadiri kelas bertinju semula kerana kali terakhir, saya bertinju tiga hari sebelum bernikah.

“Apa yang penting, saya perlu lakukan aktiviti baharu dan saya juga mohon doa semua semoga terus bersemangat,” jelasnya.

Terdahulu, menerusi video yang dimuat naik di TikTok, Wany berkongsi video mengenai masalah kurang bersemangat untuk melakukan aktiviti mencuri perhatian pengikutnya termasuk rakan artis di media sosial, baru-baru ini.

Rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat kepadanya serta berkongsi mereka juga pernah menghadapi situasi sama.

Untuk rekod, Wany mendirikan rumah tangga dengan seorang juruterbang, Mohd Al-Adib Fahmi Harun pada 22 Julai 2022 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Aishah Al Iman yang kini berusia mencecah lapan bulan.

Maya Basir