Tak Mahu Komen Banyak, Kaka Azraff Mohon Maaf

Susulan dikaitkan dengan krisis bersama aktres Che Puan Juliana Evans, penyanyi Kak Azraff tidak begitu jelas dengan situasi sebenar yang terjadi.

Katanya yang ditemui di majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim anjuran Warner Music di Hotel Royal baru-baru ini, Kaka tidak mahu mengulas panjang mengenai hal ini.

“ Jujurnya saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku kerana ramai yang bertanya kepada saya situasi sebenar.

” Saya tidak mahu komen banyak sebab ini membabitkan dua pihak. Jika saya bercakap dan keluarkan kenyataan, nanti orang lain akan terasa.

“ Sempena bulan baik ini dan saya pula sedang mengandung, saya secara peribadi meminta maaf jika ada menyinggung mana-mana pihak yang terasa,” katanya.

Tambah Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff dia juga sentiasa memaafkan dengan apa yang pernah terjadi sebelum ini.

“ Saya menahan diri untuk tidak membuka cerita sebab ia tidak bagus untuk dikongsikan.

“Apa yang pasti saya memaafkan. Itu saja saya boleh cakap. Saya tidak mahu isu ini dipanjangkan lagi,” katanya.

Terdahulu, ketiadaan Juliana atau lebih mesra disapa Jue di majlis pernikahan dan resepsi Kaka yang berlangsung pada hujung tahun lalu mengundang tanda tanya status hubungan mereka.

Status di Instagram kedua selebriti ini yang seolah memerli mengenai ‘sahabat yang bermasalah’ mengundang tanda tanya netizen.

Menerusi ruangan Instagram Stories milik Jue, pelakon itu seakan meluahkan perasaan marah terhadap seseorang.

SGMS Faida