“Tak Payah Jual Ubat Dekat Mak Aku Dah!” – Tekanan Darah Naik Mendadak, Erma Fatima Bengang Dengan Rakan Ibu!

Baru-baru ini, pelakon dan pengarah terkenal, Erma Fatima meluahkan rasa bengangnya terhadap kawan-kawan ibunya yang sering mempromosikan pelbagai makanan tambahan (supplement) kepada ibunya.

Gara-gara terpengaruh dengan saranan rakan-rakan dan media sosial, ibunya terpaksa dibawa ke klinik kerana tekanan darah naik secara mendadak.

Menerusi hantarannya di Instagram, pelakon Mok Cun itu menasihatkan orang ramai untuk sentiasa pantau ibu bapa supaya tidak terpengaruh dengan media sosial dan saranan individu yang tidak bertauliah.

“Darah dia semalam, doktor tak bertauliah (Erma) ni check 174. Pagi ni 200. Dia masih lagi tenang lagi kat situ. Kepada anak-anak kat luar sana sila pantau bukan sahaja anak kecil, orang tua pun sama.

“Ini adalah akibat daripada terlalu banyak tengok Youtube, media sosial. Segala macam mak nenek suplemen, kawan-kawan dia sakit semua datang jual ubat dekat dia. Semua habis dia beli dan dia makan,” luah Erma.

Di ruangan kapsyen hantaran, Erma dilihat turut memberi amaran kepada sesiapa yang cuba untuk menyarankan makanan tambahan kepada ibunya.

“Sapa berani nak rekomen-rekomen lagi supplement mlm ni kat mak saya… Siap! Saya sumbat supplement tu kat mulut you!,” tulisnya marah.

Menjengah di ruangan komen pula, rata-rata pengikutnya turut berkongsi pernah mengalami situasi yang sama seperti Erma di mana ibu bapa mereka terpengaruh dengan iklan ubatan kesihatan di media sosial.

       

Atiqah Johari