Tak Sangka Niat Bergurau Buat Isteri Merajuk – Ujang Exist

Gara-gara status gurauan di laman Facebook, pemain dram kumpulan Exist, Ujang terkejut apabila penulisannya mendapat reaksi pelbagai netizen.

Ujang atau nama sebenarnya Saharudin bin Saniman tidak menyangka kapsyen ditulis ‘suka-suka’ di beberapa gambar sebelum ini turut membuatkan isterinya merajuk.

“ Jujurnya saya tiada niat menyakitkan hati isteri. Saya menulis hanya dengan niat main-main dan bergurau. 

“ Selepas beberapa kali memuatnaik gambar dengan kapsyen seolah-olah saya mahu mencari isteri baru, saya turut ditegur anak-anak. Walhal tiada apa yang berlaku pun,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran stick dram siri signature Promark di JS Music, Jalan Imbi, semalam.

Sementara itu, Ujang juga sudah menjelaskan serta memohon maaf kepada isterinya mengenai isu ini.

“ Tipulah kalau dia tak merajuk. Tetapi saya sudah menjelaskan hal sebenar dan berjanji tidak akan mengulangi hal ini lagi.

“ Saya tidak akan menulis kapsyen yang membuatkan netizen fikir rumah tangga kami tidak bahagia. Kami masih seperti dulu, tiada apa yang berlaku pun,” katanya yang baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan ke 19, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Ujang Exist turut dipilih menjadi satu-satunya pemain dram di Malaysia memiliki signature stick tertera nama sendiri.

Bagi peminat Ujang, korang boleh dapatkan stick khas ini dengan harga RM79 sahaja. Bilangan dijual juga amat terhad iaitu hanya 144 pasang sahaja. Jangan lupa dapatkan okay!

SGMS Fas