Categories: HiburanSelebriti

Tercekik Sudu Bukan Gimik, Ezuwan Ismail Sedia Terima Kritikan Netizen

Pereka fesyen tanah air, Ezuwan Ismail menafikan status yang dimuatnaik oleh seorang pelakon terkenal di Instagram berhubung ‘suara tercekik sudu’ adalah gimik.

Ezuwan ketika ditemui di majlis pelancaran muzik video Semalam Sahaja memaklumkan ia bukan sesuatu yang sengaja dirancang dan dia siap sedia menerima maklum balas mengenai lagu ini.

“ Semua orang ada pendapat masing-masing. Secara peribadi, saya faham dan berlapang dada atas apa sahaja respon pendengar selepas ini.

“ Lagipun, dia tidak menyatakan siapa penyanyi berkenaan. Rasanya tidak perlulah nak terasa,” katanya.

Dalam masa sama, Ezuwan mengaku ini merupakan percubaan pertama bergelar penyanyi dan akan cuba memperbaiki kualiti vokal pada masa akan datang.

“ Saya akan terus mengikuti kelas vokal dari masa ke semasa. Saya tidak akan putus asa dan akan sentiasa mencari ilmu.

“ Kritikan yang mendatang tidak akan patahkan semangat saya. Bagi saya, segala maklum balas dari netizen atau pendengar ada baik buruknya. Ia juga petanda baik bahawa orang luar ambil perhatian terhadap single ini,” katanya yang mengikuti kelas vokal dengan penyanyi Bob Yusof.

Ditanya sama ada dia berkecil hati dengan kenyataan mengenai suara seperti tercekik sudu, Ezuwan berkata dia tiada masalah dengan isu berkenaan.

“ Semua orang berhak bersuara. Saya tidak boleh kawal pendapat orang luar. Yang penting, saya sudah berikan yang terbaik untuk Semalam Sahaja,” katanya.

Ezuwan menubuhkan kumpulan trio E1 bersama Zulyasrani dan Ariff Imran sejak November lalu dan muncul dengan single pertama, Semalam Sahaja.

Lagu ini mendapat sentuhan sepenuhnya daripada komposer terkenal Asfan Shah.

SGMS Faida