Terima Kasih, Abang Nam Ron!

Pelakon meningkat naik, Hun Haqeem tidak menyangka kehadirannya dalam dunia lakonan semakin mendapat perhatian peminat.

Tidak mahu bersandarkan pada rupa semata, pelakon drama Cari Aku Di Syurga ini menjadikan aktor Nam Ron sebagai sumber rujukan dalam bidang lakonan.

“Saya berterima kasih dan beruntung kerana dapat bekerjasama dengan beliau dalam telemovie berjudul Tasbih Usang. Abang Nam Ron banyak memberi tunjuk ajar cara menjiwai sesebuah watak.

“Saya akui sebagai pelakon baharu, untuk menjiwai watak agak susah. Saya selalu ingat pesanan beliau iaitu, ‘Jiwa Itu Penting’. Abang Nam Ron turut berpesan agar saya fahami dialog sebelum memulakan penggambaran. Bukan sekadar lontaran kosong sahaja,” katanya kepada Xtra.

Dalam masa sama, Hun yang memiliki wajah kacukan Cina memaklumkan teringin untuk membawa watak seorang Mualaf.

“Jika diberi peluang, saya mahu membawa watak seorang lelaki berbangsa cina yang berminat mendalami agama Islam seterusnya bergelar seorang Mualaf. Ini kerana ramai yang menyangka saya pemuda Cina sebelum ini,” kata artis yang kini bernaung di bawah syarikat pengurusan, MIG Productions.

SGMS Faida