Terimbau Bibit Cinta Bersama Suami, Ifa Raziah Beri ‘Standing Ovation’ Buat Rossa

Penyanyi dan pelakon Ifa Raziah memuji persembahan Datuk Seri Rossa di Konsert Rossa 25 Shining Years di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Menurut Ifa, dia terhibur dengan setiap persembahan yang ditampilkan oleh penyanyi popular Indonesia itu.

“Fun, amazing, fantastic, memang level super diva. Memang best saya memang jarang pergi konsert. Kebetulan saya baru je habis event di Perak. So, adalah kesempatan untuk hadir hari ini sebagai jemputan,” katanya.

Selain itu, Ifa turut menyatakan sepanjang konsert tersebut terdapat banyak momen yang membuatnya terimbau bibit-bibit percintaannya bersama suaminya, Mohd Yani Abdul Rahman

“Paling best antara banyak-banyak lagu yang Rossa nyanyikan malam ni, persembahan yang saya sangat-sangat teruja dan beri ‘standing ovation’ apabila beliau berduet bersama Judika, lagu Terlanjur Cinta.

“Lagu tu memang lagu kesukaan saya bersama suami dan lagu tu lah yang banyak melahirkan bibit-bibit cinta kami sampai hari ni. Thank you Rossa sebab nyanyikan lagu itu malam ni, saya sangat speechless,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon itu juga sempat mengucapkan tahniah kepada pelantun lagu Takdir Cinta itu bersama beberapa artis undangannya pada konsert malam tadi.

Antara barisan artis yang turut memeriahkan konsert semalam adalah Cakra Khan, Judika, Hael Husaini dan Amy Search.

Fatin Nurain