Terpaling Juara: Berada Di Bottom 2, Shaz Tak Putus Semangat!

Peserta program realiti Terpaling Juara, Shaz tidak patah semangat meskipun berada di kedudukan dua terbawah untuk minggu kelima.

Shaz yang membawa lagu Kau Pun Sama nyanyian asal Syamel memandang perkara terbabit sebagai satu perkara yang pahit, namun tetap kuat untuk terus berjuang.

Shaz ketika ditemui XTRA pada Ahad lalu disoal sama ada prestasi dan momentumnya menurun setelah berjaya meraih kemenangan persembahan terbaik untuk dua minggu berturut-turut.

“Pada saya, ini adat bertanding. Masa yang diberikan untuk saya bersiap sedia dengan persembahan di minggu akan datang sangat singkat iaitu hanya seminggu. Sama ada lagu itu sangat bersesuaian atau berada di luar kotak.

“Mungkin pada dua minggu sebelum ini saya berjaya meraih persembahan terbaik berturut-turut sebab rezeki. Saya tetap puas dengan semua persembahan saya dan itu saja rezeki saya setakat ini.

“Meskipun minggu kelima ini saya berada di dua terbawah, saya tetap percaya saya dah berikan sepenuh tenaga dan persembahan terbaik, cuma bukan rezeki saya. Semua peserta Terpaling Juara sangat hebat.

“Saya terima saja dan mengambil pengajaran untuk buat yang lebih baik di masa akan datang,” katanya.


Menerima kritikan negatif juri, Shaz menganggap perkara tersebut sebagai pembelajaran yang sangat membina.

“Lagu ini cabaran untuk saya, sebab sepanjang saya masuk pertandingan saya tak pernah bawa lagu genre seperti ini.

“Saya terima komen Kak Fauziah Latiff dan Datuk Hattan. Saya tidak kisah dikritik dan saya amat hargainya kerana pada saya, komen-komen tersebut sangat membina untuk kerjaya saya,” jelasnya.

Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, jangan lupa saksikan Terpaling Juara setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.

Terpaling Juara juga dapat disaksikan dengan strim langsung secara definisi tinggi di laman portal video www.tonton.com.my

Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.

Aqilah Paharuzi