#ThrowbackXTRA: Qasrina Karim Kongsi Pengalaman Puasa & Beraya Selepas Dikenali Ramai

Sejak namanya semakin meningkat naik, tidak dinafikan segala perihal yang dilakukan oleh pelakon jelita Qasrina Karim pasti akan menjadi perhatian ramai.

Biarpun kerjayanya bermula sebagai seorang model pakaian dan pempengaruh, kini Qasrina berjaya melebarkan sayapnya ke dalam dunia lakonan.

Dalam segmen #ThrowbackXTRA kali ini, Qasrina tampil berkongsi pengalamannya berpuasa dan beraya selepas bakat seninya semakin dihargai ramai.

Menurut Qasrina, bulan puasanya pada tahun ini agak mencabar kerana dirinya masih perlu menghabiskan sesi penggambaran untuk sebuah drama bersiri.

“Beberapa tahun yang lepas, saya dah start puasa sambil shooting. Tapi tahun ni macam mencabar sikit sebab kena shooting outdoors di Klang, cuaca sekarang ni memang sangat panas tapi tu laa cabarannya.

“Cara untuk tangani pun just tahan dan sabar je sebab takda cara lain. Tapi kita tunggu je waktu nak buka puasa tu. Memang setiap masa akan tengok jam. Kalau dalam empat minit tu, terasa macam empat minit yang paling lama,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon yang dikatakan wajahnya mirip dengan Mira Filzah itu sempat mengimbau momennya ketika beraya sejak popularitinya meningkat.

“Secara jujurnya, dia tak berbeza sangat. Tapi sekarang lebih ramai orang nak datang ke rumah. Dulu kalau kawan parents nak datang rumah, sekarang anak-anak diorang pun datang sekali dan nak bergambar,” jelasnya.

Fatin Nurain